Baucar Buku Semarak Membaca: Tebus Diskaun Buku RM10

Orang ramai yang berhasrat membeli buku kini boleh mendapatkan Baucar Buku Semarak Membaca sebanyak RM10 di bawah Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca 2022.

Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca 2022 ini dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri pada 29 Mac 2022 yang lalu.

Pelaksana utama program ini adalah MOTAC melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan turut disokong oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan Shopee.

Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah bagi membantu dan meringankan beban rakyat dalam pembelian bahan ilmiah serta menggalakkan perbelanjaan domestik bagi merancakkan semula industri perbukuan negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Oleh itu, orang ramai yang berminat boleh mula menebus baucar buku ini mulai 1 April sehingga 31 Ogos 2022.

Nilai Baucar

Nilai baucar yang ditawarkan kepada orang ramai setiap satu adalah berjumlah RM10.00 bagi setiap transaksi.

Pemberian baucar ini dijangka akan memberi manfaat kepada 190,000 orang penerima.

Penebusan Baucar

Orang ramai boleh mendapatkan dan menebus baucar buku ini 371 buah kedai buku terpilih yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini.

Daripada jumlah kedai buku tersebut, terdapat 3 kategori kedai buku yang dimaksudkan iaitu:

  • 170 kedai buku fizikal
  • 1 kedai buku dalam talian menerusi e-Sentral Ebook Portal
  • 200 kedai buku e-dagang menerusi aplikasi Shopee.

Kedai Buku Fizikal

Sebanyak 170 kedai buku terpilih dari seluruh negara mengambil bahagian dalam program ini.

Orang ramai boleh terus mengunjungi kedai buku tersebut untuk mendapatkan baucar dan membuat penebusan.

Senarai kedai fizikal tersebut boleh dirujuk melalui pautan berikut https://semarakmembaca.com/bbsm-kedai-fizikal/.

Kedai Buku Dalam Talian

Kedai buku dalam talian atau e-Sentral merupakan sebuah stor e-buku terbesar di Asia Tenggara yang dihasilkan oleh syarikat tempatan.

Sehingga tahun ini sahaja, eSentral mempunyai lebih 700,000 pengguna dengan menawarkan lebih 250,000 koleksi judul dari penerbit dan penulis dalam dan luar negara.

Orang ramaui boleh mendapatkan bahan bacaan digital menerusi platform ini dimana sahaja, pada bila-bila masa dengan muat turun aplikasi pembaca eSentral yang terdapat di Google Playstore atau Appstore.

Kedai Buku e-Dagang

Orang ramai juga boleh membuat penebusan menerusi kedai buku e-dagang iaitu menerusi aplikasi Shopee.

Menerusi program ini, sebanyak 200 syarikat e-dagang ada menawarkan penebusan kepada orang ramai yang mendapatkan baucar program ini.

Senarai syarikat tersebut boleh dirujuk melalui pautan ini https://semarakmembaca.com/bbsm-shopee/.

Ahli U-Pustaka

Menariknya, penerima baucar buku ini secara automatik akan didaftarkan sebagai ahli u-Pustaka dan ahli dapat mengakses bahan bacaan digital secara percuma pada bila-bila masa.

u-Pustaka adalah perkhidmatan perpustakaan digital negara yang dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Portal u-Pustaka boleh diakses melalui pautan https://www.u-library.gov.my/portal/.

Kaedah Membuat Penebusan

Untuk membuat penebusan, orang ramai boleh mendapatkan terus baucar di kedai buku fizikal, kedai buku dalam talian, dan kedai buku e-dagang yang mengambil bahagian.

Penebusan diskaun sebanyak RM10.00 akan dikenakan bagi perbelanjaan minimum sebanyak RM20.00 dan ke atas dalam satu resit transaksi.

Keterangan Lanjut

Keterangan lanjut mengenai Baucar Buku Semarak Membaca, sila layari laman web https://semarakmembaca.com/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: