Ayat Aktif & Ayat Pasif: Perbezaan, Susunan, & Jenis
Bagi menguasai penulisan karangan, murid-murid perlu menguasai ayat aktif dan pasif yang akan digunakan dalam membentuk perkataan.
Apakah yang dimaksudkan dengan ayat aktif dan ayat pasif?
Ayat aktif ialah ayat yang mengutamakan subjek atau pelaku sebagai subjek dan kata kerja di dalam ayat tersebut mempunyai awalan MeN- (me-, mem-, men-, menge-, dan meny-).
Ayat pasif pula ialah ayat yang mengutamakan objek dan perbuatannya serta kata kerja di dalam ayat tersebut tanpa awalan atau berawalan “di-” beserta dengan kata sendi “oleh.”
Susunan Ayat
Susunan ayat aktif dan pasif diterangkan dalam contoh di bawah:
i) Susunan ayat aktif
Ayat aktif perlu disusun mengikut turutan berikut iaitu:
- Subjek
- Kata kerja
- Objek
- Keterangan
Contoh ayat: “Suraya melipat baju yang kering itu.”
Dalam ayat di atas, susunan ayat terdiri daripada “Suraya” ialah subjek, “melipat” adalah kata kerja, “baju” adalah objek, dan “yang kering itu” adalah keterangan.
ii) Susunan ayat pasif
Ayat pasif pula perlu disusun mengikut turutan berikut iaitu:
- Objek
- Subjek
- Kata kerja
- Keterangan
Contoh ayat: “Sayur itu awak potong untuk dimasak nanti.”
Dalam ayat di atas, susunan ayat pasif terdiri daripada “Sayur itu” ialah objek, “awak” ialah subjek, “potong” ialah kata kerja, dan “untuk dimasak nanti” adalah keterangan.
Namun terdapat juga ayat pasif disusun seperti ayat ini: “Kereta itu dipandu oleh Ahmad sejak pagi tadi.”
Dalam ayat di atas, sususan sedikit berbeza apabila kata kerja diletakkan di sebelah objek iaitu “Kereta itu” ialah objek, “dipandu” adalah kata kerja diikuti oleh “Ahmad” sebagai subjek dan “sejak pagi tadi” ialah keterangan.
Jenis Ayat Aktif
Ayat aktif terdiri daripada dua jenis iaitu:
- Ayat aktif transitif
- Ayat aktif tak transitif
Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif atau erti kata lain ayat yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek.
Contoh ayat ialah “Tukang kebun menebas lalang.”
Ayat aktif tak transitif pula ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambut.
Contoh ayat ialah “Anak Sulaiman pandai menyanyi.”
Jenis Ayat Pasif
Bagi ayat pasif pula, ayat ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
- Ayat pasif diri pertama
- Ayat pasif diri kedua
- Ayat pasif diri ketiga
i) Ayat pasif diri pertama
Ayat pasif diri pertama ialah ayat pasif yang di dalamnya terdapat kata ganti nama diri pertama seperti aku, beta, saya, kami, kita, dan lain-lain lagi.
Contoh ayat adalah seperti berikut: “Kereta itu saya beli.”
ii) Ayat pasif diri kedua
Ayat pasif diri kedua ialah ayat pasif yang di dalamnya terdapat kata ganti nama diri kedua seperti awak, kamu, anda, dan lain-lain lagi.
Contoh ayat adalah seperti berikut: “Buku novel itu sudah anda baca?”
iii) Ayat pasif diri ketiga
Ayat pasif diri ketiga ialah ayat pasif yang di dalamnya terdapat kata ganti nama diri ketiga seperti dia, beliau, mereka, dan lain-lain lagi
Contoh ayat adalah seperti berikut: “Pintu bilik itu dibaiki oleh dia.”
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila tonton video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=h0fN6wco148.