Senarai Bangunan Bersejarah di Malaysia

Terdapat banyak bangunan bersejarah di Malaysia yang boleh dilawati dan dikunjungi oleh orang ramai.

Bangunan bersejarah ini menyimpan seribu satu keunikan dan sejarah yang tersendiri untuk dihayati dan dikenang oleh rakyat Malaysia.

Sebahagian bangunan ini juga dilindungi oleh Jabatan Warisan Negara yang bertanggungjawab untuk memulihara, memelihara, melindungi dan mempromosikan kekayaan khazanah warisan Malaysia.

Berikut merupakan senarai bangunan bersejarah di Malaysia.

1. Bangunan Sultan Abdul Samad (Kuala Lumpur)

Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah salah satu mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur.

Dibina pada tahun 1894, bangunan ini dinamakan sempena nama Sultan Selangor pada ketika itu iaitu Sultan Abdul Samad.

Terdapat beberapa peristiwa menarik di bangunan ini antaranya ialah bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Tanah Melayu pada masa itu dikibarkan.

2. Kota A Famosa (Melaka)

Kota A Famosa merupakan antara tempat bersejarah di Malaysia yang paling popular dan merupakan mercu tanda utama bagi negeri Melaka.

Kubu ini dibina pada tahun 1511 oleh pihak Portugis selepas berjaya menjajah kota Melaka.

Kota ini berbentuk hampir 4 segi yang mempunyai tembok batu setinggi 3.6 meter setebal 2.4 meter di sekelilingnya.

Terdapat 4 pintu masuk ke Kota ini dan pintu utamanya mengarah ke jambatan jungkit yang merentangi sungai.

3. Fort Conwallis (Pulau Pinang)

Ford Cornwallis merupakan sebuah kota yang dibina pada tahun 1786 oleh Francis Light clengan menggunakan buruh orang-orang buangan dari India.

Ianya dibina setelah empat hari beliau mendarat dan menduduki Pulau Pinang.

Pada awal pembinaanya kota ini dibina daripada kayu dan batang-batang nibung berukuran 46.4 meter persegi.

Kota yang dilengkapi dengan senjata-senjata dan meriam ini dinamakan sebagai Kota Cornwallis mengambil sempena nama Charles Earl Cornwallis II, seorang bangsawan Inggeris yang menjadi Gabenor Jeneral Inggeris di India pada ketika itu.

Sehingga tahun 1791, tidak banyak perubahan yang dilakukan ke atas Kota Cornwallis ini namun pada tahun 1808, kota ini telah diperbaharui dengan menggantikan batang-batang nibung tersebut dengan binaan batu.

4. Istana Lama Seri Menanti (Negeri Sembilan)

Istana Lama Seri Menanti merupakan salah sebuah istana yang penuh dengan keunikan dan keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan.

Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib.

Istana ini dibina bagi menggantikan Istana Pulih yang telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus.

Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908.

Istiadat perasmian istana ini telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad ibni Almarhum Yamtuan Antah.

5. Bangunan Sultan Ibrahim (Johor)

Bangunan Sultan Ibrahim merupakan Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang menempatkan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Johor.

Reka bentuk bangunannya yang unik serta kedudukannya yang terletak di atas Bukit Timbalan memberikan identiti tersendiri kepada bangunan bersejarah yang menjadi mercu tanda bagi bandar Johor Bahru.

Bangunan ini dibina alas titah Sultan Johor DYMM Almarhum Sultan Ibrahim untuk dijadikan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor serta melambangkan keagungan kerajaan negeri Johor yang sedang berkembang maju.

Ini disebabkan, sejak perpindahan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga, Singapura ke Tanjung Puteri (kemudiannya dinamakan Johor Bahru) pada tahun 1866, pusat pentadbiran kerajaan belum mempunyai bangunannya sendiri.

Pembinaan bangunan baru ini menyaksikan pejabat-pejabat kerajaan negeri dapat disatukan di bawah satu tempat bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan.

6. Muzium Diraja Pekan (Pahang)

Muzium Sultan Abu Bakar pada asalnya merupakan bangunan kayu dua tingkat yang dibina oleh Inggeris pada tahun 1888 sebagai tempat kediaman Residen British Pertama di Pahang, J.P. Rodger.

Pada tahun 1898, ibu negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis dan bangunan ini dijadikan tempat penginapan Residen-residen Inggeris yang datang menjalankan tugas-tugas rasminya di bandar Pekan.

Pada tahun 1948, bangunan ini telah diduduki oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai menggantikan Istana Sri Terentang.

Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Istana Kota Beram yang menjadi tempat persemayaman baginda dan menjalankan upacara-upacara yang lain.

Pada 21 Oktober 1976, bangunan ini ditukar kepada muzium dan disempurnakan secara rasmi oleh DYMM Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Pahang.

7. Masjid Ubudiah (Perak)

Masjid Ubudiah yang terletak di bandar Kuala Kangsar merupakan sebuah masjid yang dibina di atas titah Sultan Idris Mursyidul Azam Shah, Sultan Perak ke- 28 kerana menunaikan nazar baginda.

Masjid yang mempunyai pengaruh seni bina ‘Saracenie (Islam-India) kerana telah direka bentuk oleh A.S. Hubback, seorang arkitek kerajaan.

Pada 26 September 1913, satu upacara perletakan batu asas bagi masjid ini telah diadakan dan Sultan Idris telah menyempurnakan majlis ini.

Bangunan masjid ini mempunyai bentuk segi lapan dan ukuran keseluruhan segi lapan ini adalah 96 kaki mengikut garis pusatnya, di mana kawasan masjid sebenar meliputi 60 kaki.

Kedudukan mihrab masjid ini terletak di bahagian di barat lautnya sementara di bahagian timur lautnya ditempatkan tangki air dan pancutan air untuk kegunaan mengambil air sembahyang.

Kawasan ini juga berbentuk segi lapan yang mempunyai garis pusat 30 kaki dan di bahagian tenggara dan barat daya masjid ini disediakan serambi seluas 27 kaki persegi.

Keseluruhan bangunan masjid ini dikelilingi oleh dinding berhias sepanjang 135 kaki bermula dari pada tengah bangunan dengan dua pintu masuk dan pintu pagar.

8. Istana Balai Besar (Kelantan)

Istana Balai Besar yang didirikan oleh Sultan Muhammad II sebagai menggantikan Istana Kota Lama yang menjadi tempat bersemayam Sultan-sultan Kelantan terdahulu.

Istana ini menjadi tempat bersemayam beberapa orang Sultan Kelantan iaitu bermula dari Sultan Muhamad II (1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1891) dan Sultan Muhammad IV.

Istana Balai Besar menjadi tempat berlangsungnya segala upacara rasmi dan adat istiadat diraja dari tahun 1845 sehinggalah sekarang.

9. Ford Margherita (Sarawak)

Fort Margherita merupakan sebuah kubu lama yang dibina pada tahun 1879 oleh Charles Brooke, Raja Sarawak terletak di Kuching, Sarawak.

Kubu ini dibina dengan gaya sebuah istana kota Inggeris bagi melindungi Kuching dari serangan lanun.

Selain itu, kubu ini juga dibina di atas sebuah bukit mengadap Sungai Sarawak dan terletak di tebing utara berhadapan dengan pusat bandar Kuching.

Kubu ini kemudiannya digunakan sebagai sebuah Muzium Polis dari 1971 sebelum ia diserah kepada kerajaan negeri Sarawak.

10. Istana Maziah (Terengganu)

Istana Maziah merupakan istana yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Upacara peletakan batu asas istana ini diadakan pada tahun 1895 manakala pembinaannya dimulakan selepas itu.

Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala beberapa ketika dan akhirnya telah siap pada tahun 1903.

Pembinaan istana ini dibuat atas titah Sultan Zainal Abidin untuk menggantikan istana Hijau yang terletak berhampiran Istana Maziah.

Sumber: http://www.arkib.gov.my/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: