Bantuan Kewangan OKU & Program Pendidikan Khas 2025

Kementerian Pengajian Tinggi telah membuka permohonan bagi Bantuan Kewangan OKU dan Program Pendidikan Khas bagi tahun 2025.
Berikut adalah maklumat dan info mengenai bantuan dan program ini.

Mengenai Bantuan Kewangan OKU (BKOKU) & Program Pendidikan Khas (PPK)
Bantuan Kewangan OKU dan Program Pendidikan Khas merupakan biasiswa atau keistimewaan yang diberikan kepada pelajar OKU dan ianya harus dibezakan dengan kemudahan-kemudahan lain yang turut diterima oleh pelajar bukan OKU.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan dan memperluaskan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada golongan OKU yang melanjutkan pengajian di UA, IPTS, Kolej Komuniti dan Politeknik di bawah seliaan KPT
Ini bermakna sekiranya seseorang pelajar OKU itu menerima biasiswa atau kemudahan lain yang juga turut dinikmati oleh pelajar bukan OKU, maka pelajar OKU tersebut adalah layak menerima biasiswa ini.
Bantuan kewangan ini juga ini tidak mengambil kira taraf pendapatan keluarga OKU tersebut sebagai syarat kelayakan.
Tarikh Permohonan
Tarikh permohonan dibuka ialah 18 Ogos 2025, jam 10.00 pagi hingga 18 September 2025, jam 11.59 malam.
Skop Pembiayaan
Skop pembiayaan bantuan dan program ini adalah seperti berikut:
i- Bantuan Kewangan OKU (BKOKU)
Skop pembiayaan OKU adalah tertumpu kepada institusi yang terletak dibawah pengurusan dan kawalan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu semua IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti sahaja.
Skop peringkat pengajian pula adalah tertakluk kepada tafsiran pengajian tinggi (tertiary) iaitu peringkat diploma dan ke atas sahaja. Walau bagaimanapun, kursus peringkat sijil jangka panjang di politeknik dan kolej komuniti yang di bawah tanggungjawab KPT boleh dipertimbangkan untuk bantuan kewangan OKU ini.
Pelajar OKU yang menuntut di institusi-institusi latihan bukan bertaraf IPT yang dikawal oleh kementerian-kementerian lain dan institusi-institusi pengajian tinggi luar negara adalah di luar skop pembiayaan.
ii- Program Pendidikan Khas (PPK)
Skop pembiayaan PPK adalah tertumpu kepada Kolej Komuniti dan Politeknik terpilih sahaja dari Sijil Kemahiran Khas.
Senarai institusi dan nama program yang terlibat:
| Institusi | Nama Program |
|---|---|
| Politeknik Ungku Omar | Sijil Khas Pembinaan |
| Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah | Sijil Khas Penyenggaraan Mekanikal |
| Politeknik Kota Kinabalu | Sijil Khas Operasi Katering |
| Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin | Sijil Khas Operasi Katering |
| Politeknik Ibrahim Sultan | – Sijil Khas Operasi Katering – Sijil Khas Reka Bentuk Fesyen – Sijil Khas Reka Bentuk Grafik |
| Kolej Komuniti Selayang | Sijil Asas Kulinari |
Elemen Tajaan
Elemen tajaan bagi bagi bantuan dan program ini adalah seperti berikut:
| BKOKU | PPK |
| RM3,100 (satu semester = 6 bulan) untuk semua mod, peringkat dan institusi pengajian. | RM 4260 / Semester 1 sahaja; dan RM 3960 / Semester 2 hingga 4 |
Syarat Pembiayaan
Syarat pembiayaan untuk bantuan kewangan ini adalah seperti berikut:
- Pelajar warganegara Malaysia.
- Pelajar berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan telah mempunyai kad OKU.
- Kursus yang diikuti hendaklah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);
- Pelajar OKU yang menerima pinjaman pelajaran atau membiayai pengajian sendiri adalah layak memohon. Namun, pelajar yang mempunyai biasiswa lain tidak layak untuk mendapat BKOKU.
- Pelajar hendaklah sedang melanjutkan pengajian di mana-mana universiti awam, Kolej Komuniti dan Politeknik atau IPTS di bawah seliaan KPT.
- Pelajar yang mengikuti kursus separuh masa atau pengajian jarak jauh layak menerima bantuan kewangan ini.
- Pelajar OKU yang menerima biasiswa atas dasar kurang upayanya semasa melanjutkan pengajiannya tidak layak menerima bantuan kewangan ini. Misalnya jika seseorang pelajar OKU itu telah menerima biasiswa khas untuk melanjutkan pengajian di IPT kerana keistimewaannya, elaun khas ini tidak akan dipanjangkan kepada beliau.
- Pelajar OKU hendaklah bukan dalam tempoh cuti belajar bergaji (penuh/sebahagian).
- Pelajar yang ingin menukar tempat pengajian dalam tempoh pembiayaan BKOKU hendaklah memaklumkan perkara tersebut secara bertulis kepada pihak kementerian dan institusi pengajian sebelum tarikh lapor diri di tempat pengajian baharu. Walau bagaimanapun, tempoh bantuan kewangan adalah tertakluk kepada surat tawaran asal institusi. Pelajar yang memohon pelanjutan tempoh pengajian adalah tidak layak menerima bantuan kewangan ini bagi tempoh pelanjutan tersebut, memandangkan tempoh tajaan adalah mengikut surat tawaran asal.
Untuk PPK, syarat pembiayaan adalah pelajar OKU yang mempunyai kod DD atau DE (Pendengaran sahaja) di Kolej Komuniti dan Politeknik terpilih.
Cara Memohon
Permohonan boleh dibuat menerusi pautan berikut https://bkoku.mohe.gov.my/login.
Pertanyaan Lanjut
Pertanyaan lanjut mengenai bantuan dan program ini, sila hubungi 03-8870 6347 atau melalui emel [email protected].



