Senarai Penuh Inisiatif Belanjawan 2023
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen Malaysia.
Belanjawan ini merupakan belanjawan penuh pertama yang akan dibentangkan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Sebelum ini, belanjawan untuk tahun ini pada awalnya telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan terdahulu iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022.
Namun, belanjawan tersebut tidak dapat diluluskan Parlimen apabila berlakunya pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober.
Oleh itu, kerajaan perlu membentangkan belanjawan baharu untuk kelulusan di peringkat parlimen.
Senarai Inisiatif Belanjawan 2023
Belanjawan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion secara keseluruhannya.
Antara senarai inisiatif di dalam belanjawan ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah seperti berikut:
- Agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan. 87 peratus ahli dengan simpanan kurang 30 ribu ringgit telah diberi dividen 5.1 sen per unit. Manakala, simpanan melebihi 30 ribu ringgit menerima dividen 4.6 sen per unit.
- Memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.
- Mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.
- Mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
- Pengampunan ke atas penalti 100 peratus cukai akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024.
- Mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 150 ribu pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.
- RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.
- RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, DBKL, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
- Kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.
- Kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah 1.7 bilion ringgit.
- Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME), hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
- Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90 peratus.
- Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan ehailing.
- 6 projek tebatan banjir akan di-tender semula dengan segera selewatnya bulan Jun 2023.
- NADMA disediakan RM150 juta antara lainnya untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.
- Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan RELA juga disediakan RM50 juta bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana.
- Kerajaan menyediakan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk manfaat 2,000 persatuan penduduk.
- Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kerajaan Negeri akan ditingkatkan kepada 150 juta setahun berbanding 70 juta ringgit tahun lalu.
- RM38 juta turut disediakan bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.
- Menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dengan mengutamakan khidmat komuniti orang asli dan veteran tentera dan polis melibatkan peruntukan RM50 juta.
- Memberikan insentif kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.
- Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan sehingga 6 bilion ringgit pembiayaan strategik khusus untuk menggalakkan agenda mampan dan automasi selain sokongan dalam bentuk ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas dengan COVID-19.
- Membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang.
- Menyokong projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Perlis.
- Bermula 2024, aset simpanan syariah akan diasingkan sepenuhnya bagi memberi pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah.
- Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf MADANI dengan aset-aset bernilai lebih RM1 bilion.
- Menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.
- Had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan 32 kepada 1 juta berbanding 500 ribu ringgit serta perolehan secara cabut undi kepada 200 ribu berbanding 100 ribu ringgit.
- Kerajaan menyediakan 2.7 bilion ringgit untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.
- 1.5 bilion ringgit juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.
- Sejumlah 50 juta ringgit disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.
- Kerajaan akan meningkatkan pemberian MARRIS yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada 5.2 bilion ringgit.
- Sejumlah 10 juta ringgit disediakan bagi geran pengoperasian NSRC.
- Menguatkuasakan dasar “kill switch” kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.
- Meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.
- Kes-kes kecil yang hutangnya kurang 50 ribu ringgit yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac 2023.
- Sebuah unit khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat.
- Kerajaan menyediakan 8 juta ringgit bagi memperkukuh peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai tempat intervensi awal isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.
- Kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit.
- Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada 30 ribu kepada 50 ribu ringgit.
- Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan peruntukan 50 juta ringgit untuk manfaat lebih 8,000 pelatih.
- PERKESO akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17 ribu graduan khususnya TVET sebanyak 600 ringgit sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan. 45 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.
- PERKESO juga menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga 600 ringgit sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.
- Kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro credentials sehingga 4,000 ringgit.
- PERKESO juga menyediakan elaun 300 ringgit untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan.
- Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan akan menawarkan 35 ribu peluang kerjaya kepada belia, graduan TVET selain kumpulan rentan dan veteran.
- Menyediakan 50 juta ringgit geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang berupaya menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.
- 80 juta ringgit disediakan bagi menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Antiminyak Sawit.
- Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, PERKESO akan meminda Aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja.
- Kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska 180 ringgit sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada 5,000 kepada 7,000 ringgit.
- Kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu.
- Kerajaan memperuntukkan 250 juta ringgit untuk mempromosi pelancongan.
- Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek JENDELA sebagai usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan internet.
- Kerajaan akan memperkasa peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang.
- Sejumlah 100 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil.
- 1 bilion ringgit juga tersedia sebagai dana pembiayaan di bawah BNM untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi.
- GLC antaranya Khazanah dan KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan 1.5 bilion ringgit.
- 40 juta ringgit disediakan di bawah Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) sebagai dana padanan yang menyokong kaedah pendanaan alternatif.
- Kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.
- Menyediakan sehingga 64 bilion ringgit dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.
- Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan.
- Kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.
- Meningkatkan peruntukan daripada 200 juta ringgit kepada 225 juta ringgit bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu.
- Isi rumah pendapatan kurang 2,500 ringgit, layak terima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak.
- Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan 600 ringgit kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai 600 ringgit kepada mereka.
- Kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah 200 ringgit dengan peruntukan 400 juta ringgit.
- Kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit.
- Sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah padi sebanyak 200 ringgit sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240 ribu pesawah dengan peruntukan 228 juta ringgit.
- BERNAS turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi.
- Kerajaan bersetuju untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada 2 ringgit 50 sen kepada 2 ringgit 70 sen sekilogram dengan peruntukan 350 juta ringgit.
- Kerajaan turut bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada 600 kepada 800 ringgit untuk tempoh empat bulan.
- Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak 2 peratus melibatkan banjaran lebih 35 ribu hingga 100 ribu ringgit.
- Kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus melibatkan banjaran lebih 100 ribu hingga 1 juta ringgit.
- Sejumlah 50 juta ringgit disedia bagi menggerak pelbagai program antaranya Kembara Perpaduan Malaysia Madani dan Ini Warisan Kita.
- Kerajaan bersetuju menyediakan 20 juta ringgit untuk melaksanakan program gotong-royong di semua sekolah seluruh Malaysia.
- Memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.
- Memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan 1,800 ringgit ke bawah untuk tempoh 6 bulan.
- Lebih 500 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.
- Kerajaan akan membina lebih 7 ribu unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur.
- Melaksanakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama LTAT.
- Menaikkan elaun bagi 35 ribu guru KAFA sebanyak 100 ringgit kepada 1,100 ringgit dengan peruntukan tambahan lebih 40 juta ringgit.
- Memberikan sumbangan khas 600 ringgit kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir.
- Menyediakan dana geran padanan 50 juta ringgit bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.
- Bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet, dana 5 juta ringgit disediakan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun 2023.
- 102 juta ringgit disediakan sebagai Dana Kandungan Digital untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.
- Kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna.
- Prasarana juga secara rintis akan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST.
- Kerajaan juga menyediakan 150 juta ringgit antaranya bagi memperluas pelaksanaan Program SBST ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.
- Sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak 560 juta.
- Kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada 625 juta kepada 777 juta ringgit tahun ini yang memanfaatkan 700 ribu murid.
- Peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah Kementerian Pendidikan ditingkatkan daripada 89 juta ringgit kepada 108 juta ringgit bagi memberi manfaat kepada lebih 240 ribu murid prasekolah KPM.
- Kerajaan akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50 ribu komputer riba.
- Kerajaan menyediakan 80 juta ringgit bagi memperkasa Skim PEKA B40 dengan turut merangkumi saringan penyakit kencing manis.
- 50 juta ringgit bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada mengganti lif-lif yang telah usang. Bagi mempercepat proses perolehan, had sebut harga perolehan kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif ditingkatkan kepada 1.2 juta ringgit berbanding 500 ribu ringgit.
- Kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman PERKESO bagi mengurangkan bebanan dan menggalakkan pekerja sendiri membuat caruman dalam Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO, 100 juta ringgit disediakan untuk memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri.
- Jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditingkatkan kepada 300 ribu ringgit berbanding 200 ribu ringgit sebelum ini.
- Meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5 bilion ringgit.
- Kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang 10 ribu ringgit di dalam Akaun 1 mereka, Kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak 500 ringgit. Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir 1 billion ringgit.
- Kerajaan bersetuju untuk memberi elaun khas 100 ringgit sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan penyelamat negara yang terlibat di dalam misi di Turkiye dan Syria.
- Meneruskan cadangan menaikkan kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari.
- Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak 700 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain 350 ringgit juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai Belanjawan 2023, layari laman web Kementerian Kewangan di laman web https://www.mof.gov.my/.