Permohonan Biasiswa Sultan Ibrahim Untuk Ijazah Sarjana & PhD

Mahasiswa daripada Negeri Johor yang akan atau sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), sukacita dimaklumkan permohonan Biasiswa Sultan Ibrahim telah dibuka.

Biasiswa Sultan Ibrahim yang diuruskan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) ditawarkan kepada mahasiswa di negeri tersebut yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan PhD di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Biasiswa ini diwujudkan untuk membantu mahasiswa yang tidak mendapat mana-mana tajaan atau pembiayaan pelajaran daripada pihak-pihak lain.

Oleh itu, pemohon yang berminat boleh membuat permohonan mulai 21 September hingga 30 September 2021 secara atas talian sahaja.

Tempoh Tajaan

Tempoh tajaan yang ditetapkan mengikut peringkat pengajian adalah seperti berikut:

  • Ijazah Sarjana: 1 hingga 2 tahun
  • PhD: 3 hingga 4 tahun

Kadar Biasiswa

Kadar biasiswa yang ditawarkan mengikut peringkat pengajian adalah seperti berikut:

KategoriYuran Pengajian (sepanjang pengajian)Elaun Sara Hidup (setahun)
Ijazah SarjanaTidak Melebihi RM10,000RM12,000
PhDTidak Melebihi RM24,000RM18,000

Syarat Umum

Syarat umum yang perlu dipenuhi oleh pemohon yang memohon biasiswa ini adalah seperti berikut:

  1. Pemohon hendaklah menetap di Negeri Johor.
  2. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang lahir di Negeri Johor.
  3. Terbuka kepada pelajar Ijazah Sarjana (Master) dan PhD di IPTA sahaja.
  4. Umur pemohon tidak melebihi 40 tahun pada tahun memulakan pengajian.
  5. Pemohon memenuhi syarat kemasukan ke IPT dan telah menerima surat tawaran tidak bersyarat daripada IPT atau telah memulakan pengajian di IPT.
  6. Baki pengajian pemohon sekurang-kurangnya setahun atau lebih.
  7. Pengajian adalah sepenuh masa sahaja.
  8. Pemohon tidak menerima pembiayaan lain daripada mana-mana pihak untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang sama.
  9. Mesti mendapat cuti belajar tanpa gaji atau pelepasan jawatan daripada majikan bagi mereka yang sedang berkhidmat.

Syarat Khusus Akademik

Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat khusus akademik yang ditetapkan iaitu:

i) Pengajian Ijazah Sarjana

  • Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan kepujian kelas pertama/PNGK 3.75–4.00 atau setara.

ii) Pengajian PhD

  • Memiliki Ijazah Sarjana atau setaraf yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan kepujian kelas pertama/PNGK 75–4.00 atau setara.
  • Pelajar Ijazah Sarjana yang dinaiktaraf (conversion) kepada Doktor Falsafah oleh Senat IPT.

Cara Membuat Permohonan

Untuk membuat permohonan Biasiswa Sultan Ibrahim ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web permohonan http://prolims.ypj.gov.my/.
  2. Klik bahagian ‘Permohonan Pra Pendaftaran.’
  3. Isi maklumat yang diperlukan dan klik ‘Daftar Pra Permohonan.’
  4. Log masuk dengan memasukkan ID dan kata laluan.
  5. Isi maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan betul.
  6. Cetak borang permohonan dan sediakan dokumen sokongan yang diperlukan.
  7. Susun dokumen sokongan mengikut turutan.
  8. Masukkan kesemua dokumen sokongan kedalam sampul surat bewarna coklat bersaiz A4 dan seterusnya di gam dibahagian belakang dengan kemas.
  9. Tuliskan jenis permohonan di penjuru atas kanan sampul iaitu ‘BSI.’
  10. Masukan ke dalam peti berkunci di pejabat YPJ (bagi yang memilih kaedah serahan tangan).
  11. Bagi yang memilih kaedah Pos, dokumen yang telah dimasuk ke dalam sampul surat tersebut boleh di pos menggunakan kaedah POS yang mempunyai tracking number dan dihantar ke alamat berikut:

    Yayasan Pelajaran Johor,
    No. 15, Bangunan YPJ Jalan Nuri,
    Larkin Jaya, Kg Dato’ Onn Jaafar,
    Karung Berkunci 711,
    80990 Johor Bahru,
    Johor Darul Takzim.

Dokumen Sokongan

Dokumen sokongan berikut perlu disahkan sebelum dihantar ke pejabat YPJ iaitu:

  1. Salinan slip permohonan.
  2. Salinan kad pengenalan pemohon, ibu dan bapa/penjaga.
  3. Salinan surat tawaran pengajian.
  4. Salinan transkrip bagi taraf pengajian sebelum.
  5. Salinan keputusan peperiksaan terkini (bagi yang sedang mengikuti pengajian sahaja)
  6. Salinan struktur yuran sepanjang pengajian.

Pertanyaan Lanjut

Untuk pertanyaan lanjut mengenai Biasiswa Sultan Ibrahim, sila hubungi pihak YPJ di talian 07-2344355 atau menghantar menggunakan aplikasi Whatsapp iaitu  013-7217 355/013-7290 355.

Orang ramai juga boleh melayari laman web YPJ iaitu http://portal.ypj.gov.my/ untuk maklumat lanjut.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: