bydpa

BYDPA 2022: Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi tahun 2022 telah dibuka bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (Ph.D) bagi bidang pengajian yang terpilih.

Untuk makluman, BYDPA diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang sedang mengikuti pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang terpilih dan menyambung pengajian sama ada di universiti tempatan atau luar negara yang terpilih.

Untuk pemohon yang berimnat, permohonan biasiswa ini boleh dibuat secara atas talian mulai 19 Januari 2022 iaitu pada hari Rabu.

Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah dimuat turun, dicetak dan ditandatangani oleh pemohon serta dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA bersama-sama dokumen sokongan yang berkaitan sebelum atau pada 22 Februari 2022 (Selasa).

Bidang Pengajian

Pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang berikut layak untuk memohon biasiswa ini iaitu:

  • Sains dan Teknologi
  • Ekonomi
  • Undang-undang
  • Kewangan Islam

Pelajar IPT Layak Memohon

Pelajar yang sedang menyambung pengajian di IPT yang layak memohon dan boleh dirujuk melalui pautan berikut:

Syarat Umum

Pelajar yang berminat perlu memenuhi syarat-syarat umum yang ditetapkan:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Umur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2022.

Syarat Khusus

Selain syarat umum, pelajar juga perlu memenuhi syarat khusus iaitu:

  1. Pelajar mestilah mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat pengajian:
    – Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Sarjana; atau
    – Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Ph.D.
  2. Pelajar telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.
  3. Untuk pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.
  4. Pelajar terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, rekacipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu:
    – Calon Sarjana: Penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan; atau
    – Calon Ph.D: Penglibatan calon adalah wajib.

Tatacara Permohonan

Pelajar yang ingin membuat permohonan BYDPA boleh mengikuti tatacara permohonan berikut:

  1. Layari laman web berikut http://esilav2.jpa.gov.my dan buat permohonan.
  2. Kemudian, muat turun borang permohonan selepas selesai membuat permohonan.
  3. Sediakan dokumen yang diperlukan.
  4. Hantar borang permohonan beserta dokumen yang diperlukan ke alamat berikut:

    Ketua Pengarah
    Jabatan Perkhidmatan Awam
    Bahagian Pembangunan Modal Insan
    Aras 3, Blok C2, Kompleks C
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62510 PUTRAJAYA
    (u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan)

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen berikut perlu dihantar bersama-sama borang permohonan:

  1. Salinan ijazah pertama atau setaraf (skrol dan transkrip yang disahkan oleh pegawai berkelayakan).
  2. Salinan Ijazah Sarjana atau setaraf (skrol dan transkrip yang disahkan oleh pegawai berkelayakan–bagi permohonan peringkat Ph.D).
  3. Surat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) daripada universiti/institusi pengajian atau slip/pengesahan pendaftaran semester pertama pengajian.
  4. Salinan sijil, surat atau apa-apa pembuktian/pengesahan penglibatan dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif yang disahkan oleh pegawai berkelayakan untuk calon Sarjana (sekiranya ada) tetapi wajib untuk calon Ph.D.
  5. Salinan sijil, surat atau apa-apa pembuktian/pengesahan penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum/aktiviti kemasyarakatan yang disahkan oleh pegawai berkelayakan (sekiranya ada).
  6. Kertas cadangan penyelidikan (Research Proposal) dalam Bahasa Malaysia/Bahasa Inggeris untuk pengajian dalam negara atau Bahasa Inggeris bagi pengajian di luar negara.
  7. Borang JPA(L)LDP1A/96 yang telah dilengkapkan dan ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan – dokumen ini hanyalah untuk pemohon yang terdiri daripada penjawat awam sahaja. Di samping itu, ruangan perakuan Ketua Jabatan di dalam borang permohonan juga perlu dilengkapkan oleh pemohon yang terdiri daripada penjawat awam sahaja.

Pertanyaan Lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai BYDPA, hubungi hubungi talian 03–8885 3879/3569/3438/3371/3571 atau menghantar email ke [email protected]

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top