BYDPA 2025: Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong
Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 telah dibuka bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (PhD) bagi bidang pengajian yang terpilih.
Berikut merupakan maklumat mengenai biasiswa ini dan cara untuk memohon.
Mengenai BYDPA 2025
BYDPA diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang sedang mengikuti pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang terpilih dan menyambung pengajian sama ada di universiti tempatan atau luar negara yang terpilih.
Untuk pemohon yang berimnat, permohonan biasiswa ini boleh dibuat secara atas talian mulai 3 hingga 28 Februari 2025.
Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah dimuat turun, dicetak dan ditandatangani oleh pemohon serta dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA bersama-sama dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 7 Mac 2025.
Bidang Pengajian
Pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang berikut layak untuk memohon biasiswa ini iaitu:
- Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM)
- Ekonomi
- Undang-Undang
- Kewangan Islam
- Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)
Syarat Umum
Pelajar yang berminat perlu memenuhi syarat-syarat umum yang ditetapkan:
- Warganegara Malaysia;
- Berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2025;
- Pegawai/ Pelajar yang menghidap penyakit kronik/ berjangkit/ penyakit yang memerlukan rawatan susulan dibenarkan untuk memohon kemudahan program ini untuk pengajian dalam negara;
- Permohonan untuk mengikuti pengajian ke luar negara dikehendaki bebas daripada penyakit kronik/ berjangkit/ penyakit yang memerlukan rawatan susulan dan disahkan sihat serta berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat oleh Pegawai Perubatan. Ahli keluarga pemohon (pegawai awam sahaja) yang dibawa bersama (pengajian luar negara) juga perlu bebas daripada penyakit kronik/ berjangkit/ penyakit yang memerlukan rawatan susulan. Sekiranya laporan perubatan mengesahkan pegawai atau ahli keluarga yang dibawa bersama menghidap penyakit kronik/ berjangkit/ penyakit yang memerlukan rawatan susulan, penawaran kemudahan ini akan dibatalkan; dan
- Pegawai awam yang memohon BYDPA mestilah tertakluk kepada syarat-syarat umum permohonan kemudahan Cuti Belajar yang sedang berkuatkuasa..
Syarat Khusus
Selain syarat umum, pelajar juga perlu memenuhi syarat khusus iaitu:
- Pelajar mestilah mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat pengajian:
– Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Sarjana; atau
– Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Ph.D. - Pelajar telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.
- Untuk pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.
- Pelajar terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, rekacipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu:
– Calon Sarjana: Penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan; atau
– Calon Ph.D: Penglibatan calon adalah wajib.
Tatacara Permohonan
Pelajar yang ingin membuat permohonan BYDPA boleh mengikuti tatacara permohonan berikut:
- Layari laman web berikut https://esilav2.jpa.gov.my/online_progs/epermohonan/index.php?program=AGNG dan buat permohonan.
- Kemudian, muat turun borang permohonan selepas selesai membuat permohonan.
- Sediakan dokumen yang diperlukan.
- Hantar borang permohonan beserta dokumen yang diperlukan ke alamat berikut:
Ketua Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pembangunan Modal Insan
Aras 3, Blok C2, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 PUTRAJAYA
(u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan)
Dokumen Yang Diperlukan
Dokumen berikut perlu dihantar bersama-sama borang permohonan:
- Salinan ijazah pertama atau setaraf (skrol dan transkrip yang disahkan oleh pegawai berkelayakan bagi permohonan peringkat Sarjana dan Ph.D).
- Salinan Ijazah Sarjana atau setaraf (skrol dan transkrip yang disahkan oleh pegawai berkelayakan – bagi permohonan peringkat Ph.D).
- Surat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) daripada universiti/institusi pengajian atau slip/pengesahan pendaftaran semester pertama pengajian.
- Salinan sijil, surat atau apa-apa pembuktian/pengesahan penglibatan dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya yang disahkan oleh pegawai berkelayakan untuk calon Sarjana (sekiranya ada) tetapi wajib untuk calon Ph.D.
- Salinan sijil, surat atau apa-apa pembuktian/pengesahan penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum/aktiviti kemasyarakatan yang disahkan oleh pegawai berkelayakan.
- Kertas cadangan penyelidikan (Research Proposal) dalam Bahasa Malaysia/Bahasa Inggeris untuk pengajian dalam negara atau Bahasa Inggeris bagi pengajian di luar negara.
- Borang JPA(L)LDP1A/96 yang telah dilengkapkan dan ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan — dokumen ini hanyalah untuk pemohon yang terdiri daripada penjawat awam sahaja
Pertanyaan Lanjut
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai BYDPA 2025, hubungi hubungi talian 03–8885 3569/3438 atau emel kepada [email protected].
Baca juga: Skim Bantuan Pendaftaran IPT 2025 Dalam Negara MAIJ