Cara Mengelakkan Risiko Jangkitan HFMD Di Sekolah

Seperti yang diketahui umum, jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau Hand Foot Mouth Disease (HFMD) telah menunjukkan trend peningkatan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan sebanyak 22,463 kes penyakit HFMD di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022.

Jumlah ini meningkat sebanyak 12.8 kali ganda berbanding pada minggu sama pada tahun 2021 yang hanya mencatatkan 1,752 kes sahaja.

KKM telah mengenal pasti majoriti lokasi penularan wabak ini berlaku di tadika, taska serta pra-sekolah iaitu 600 wabak atau 72% diikuti rumah persendirian dengan 186 wabak atau 24% dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 26 wabak atau 4%.

Apakah Maksud HFMD?

HFMD lazimnya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus. 

Virus penyebab HFMD juga boleh terdapat di dalam kerongkong dan najis dan merebak melalui melalui sentuhan terus dengan air liur dan najis mereka yang berpenyakit.

Simptom Gejala

Gejala HFMD lazimnya adalah ringan (mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Selain itu, kanak-kanak yang dijangkiti juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti encephalitis dan myocarditis. 

Tempoh Inkubasi

Tempoh inkubasi bagi penyakit ini adalah antara 3 hingga 5 hari dan masa yang paling berisiko untuk menjangkiti orang lain adalah ketika sebelum dan selepas gejala timbul.

Namun, majoriti kes penyakit ini mengalami gejala ringan dan sembuh dalam masa 5 hingga 7 hari.

Cara Mengelakkan Jangkitan

Ibu bapa dan guru perlu mengambil perhatian dalam hal ini dan mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan seperti:

  1. Murid perlu untuk membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas. Para guru atau pengasuh juga perlu membasuh tangan sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin, dan mencuci najis kanak-kanak.
  2. Menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.
  3. Mengelakkan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.
  4. Sentiasa mengekalkan kebersihan pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.
  5. Pihak guru perlu mencuci semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, dan lantai sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
  6. Membawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan.
  7. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain.
  8. Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan, jangan menghantar kanak-kanak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah sebaliknya kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan.

Info Lanjut

Untuk info lanjut mengenai HFMD, sila layari laman web KKM iaitu https://www.moh.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: