Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha

Umat Islam adalah disunatkan untuk melakukan solat Sunat Hari Raya apabila tibanya Hari Raya Aidiladha.

Dalam mazhab Al-Imam Al-Syaf’ie, solat hari raya hukumnya adalah sunat muakkad dan bukannya wajib.

Antara hadis yang menyokong pendapat ini adalah daripada Talhah bin ‘Ubaidillah R.A beliau berkata: ‘’Seorang lelaki telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan bertanyakan tentang Islam. Kemudian Rasulullah S.A.W menjawab maksudnya: “(Kamu perlu) melaksanakan solat lima waktu sehari semalam.”

Kemudian lelaki itu bertanya : ‘’Adakah menjadi kewajipan ke atasku solat selainnya ?’’. Maka Nabi S.A.W menjawab maksudnya“Tidak, kecuali kamu ingin mengerjakan solat sunat.”

Hukum Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Bersendirian / Berjemaah

Hukum menunaikan solat hari raya di rumah sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah adalah harus dan sah.

Namun, secara asasnya, solat hari raya dituntut untuk dilakukan di tanah lapang supaya ia dapat dihadiri oleh ramai umat Islam, seterusnya menzahirkan syiar bagi agama Islam.

Oleh itu, adalah dituntut bagi semua umat Islam untuk menghadiri solat hari raya sama ada di tanah-tanah lapang mahupun di masjid-masjid dari kalangan orang lelaki dan perempuan, kanak-kanak, bahkan anak-anak dara, wanita berpurdah, serta wanita haid juga turut digalakkan menghadiri solat hari raya bagi menyaksikan pelaksanaannya.

Ini berdasarkan hadis daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha beliau berkata maksudnya: “Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kami (orang perempuan) untuk mengeluarkan anak-anak gadis dan wanita-wanita berpurdah pada dua hari raya serta baginda arahkan wanita haid agar menjauhi tempat solat umat Islam” (Riwayat Muslim (890).

Waktu Solat

Waktu solat sunat Aidiladha adalah di antara tempoh terbitnya matahari sehinggalah kepada tergelincirnya matahari atau secara mudahnya iaitu jam 8.00 pagi ke atas sehingga sebelum masuknya waktu solat zohor.

Bilangan Rakaat

Solat Aidiladha dilakukan sebanyak dua rakaat dan dilakukan dengan niat solat hari raya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar Ibn Al-Khattab R.A beliau berkata maksudnya: “Solat ketika musafir itu adalah sebanyak dua rakaat, solat Jumaat adalah sebanyak dua rakaat, dan solat hari raya adalah sebanyak dua rakaat” (Riwayat Ibn Majah (1063).

Panduan Solat Sunat Hari Raya

Solat Aidiladha dua rakaat hukumnya sunat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

1. Lafaz niat

اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا/ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usalli sunnatan liAidil Adha rak’ataini makmuman lillahi ta’ala.

Ertinya:

Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.

2. Lafaz tasbih

[ سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر]

CARA MENUNAIKANNYA

Rakaat Pertama

1. Di mulai dengan lafaz takbirratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.

Ertinya:

Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.

2. Membaca doa iftitah

3. Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar

[ سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر] )

4. Membaca surah al-Fatihah

5. Membaca surah al-Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)

6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama

Rakaat kedua

1. Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)

2. Lafaz takbir lima kali di selangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar

[ سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر] )

3. Membaca surah al-Fatihah

4. Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)

5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua

6. Memberi salam

Khutbah Aidiladha

Khutbah Hari Raya Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya. Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.

Solat sunat hari raya boleh dilakukan berpandukan lampiran oleh JAKIM di bawah:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: