COVIDNOW: Semakan Kadar Vaksinasi Murid Sekolah KPM

Ibu bapa kini boleh menyemak kadar vaksinasi murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi fitur terbaharu yang diperkenalkan di laman web COVIDNOW.

Fitur baharu ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KPM bagi menyediakan maklumat berkaitan status pelaksanaan PICK Remaja bagi murid sekolah di bawah KPM.

Langkah ini bertujuan bagi menyediakan maklumat telus kepada masyarakat, khususnya ibu bapa/penjaga sebagai sebahagian daripada langkah peralihan negara ke fasa endamik COVID-19.

Oleh itu, semua maklumat PICK Remaja boleh diakses dan dikongsikan kepada umum sama ada seperti data vaksinasi melalui laman web COVIDNOW.

Mengenai COVIDNOW

COVIDNOW merupakan laman web yang dibangunkan oleh KKM yang mengandungi pelaporan data lebih telus dan tepat setiap hari mengenai COVID-19 mulai 9 September yang lalu.

Antara maklumat dan data yang boleh diperoleh melalui laman web ini adalah perincian kes baharu dan kematian, status dan jenis vaksin, kapasiti sistem kesihatan awam, dan data kesan sampingan susulan vaksinasi (AEFI).

Menerusi data dan maklumat yang dikongsikan di COVIDNOW, orang ramai akan mendapat lebih banyak pemahaman dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran yang lebih baik berkenaan situasi jangkitan COVID-19 dalam negara.

PICK Remaja

Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah dilancarkan pada 22 September 2021 bagi mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun.

PICK Remaja dilaksanakan sebagai usaha pelindungan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang memulakan pembelajaran mereka secara bersemuka di sekolah.

KPM memaklumkan sehingga kini, hampir 80% murid berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.

Kerajaan juga mensasarkan sebanyak 80% murid akan mendapat dos kedua pada akhir Disember tahun ini.

Cara Membuat Semakan

Untuk membuat semakan kadar vaksinasi murid di sekolah, sila ikuti langkah-langkah mudah ini iaitu:

  1. Layari laman web https://covidnow.moh.gov.my/school/.
  2. Pilih negeri dan nama sekolah diikuti dengan butang ‘Search.’
  3. Klik pada nama sekolah yang dipilih.
  4. Kadar vaksinasi murid dan kakitangan sekolah tersebut dipaparkan.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai kadar vaksinasi sekolah dan perinciannya, sila layari laman web https://covidnow.moh.gov.my/school/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: