Cuti Hari Pekerja / Hari Buruh 1 Mei 2023

Hari Pekerja atau lazimnya dipanggil Hari Buruh disambut seluruh dunia pada 1 Mei setiap tahun.

Hari tersebut juga dipanggil sebagai Hari Pekerja Antarabangsa yang merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi kesatuan pekerja.

Pada hari tersebut, semua pekerja akan diberikan cuti sempena memperingati perkara tersebut.

Sejarah Sambutan

Tarikh 1 Mei dipilih kerana memperingati kejayaan pergerakan buruh pada 1886 menerusi Mogok Haymarket di Chicago, Illinois di Amerika Syarikat.

Mogok ini bermula apabila satu perhimpunan aman pekerja di Medan Haymarket yang menuntut agar waktu pekerja dikurangkan kepada kerja lapan jam sehari.

Ini berbeza dengan peraturan sebelumnya apabila pekerja kilang dipaksa untuk bekerja 12 hingga 14 jam, malah ada yang sampai 16 jam sehari serta tiada cuti diberikan.

Semasa pekerja berarak di Medan Haymarket, golongan anarkis meletupkan bom yang mengorbankan beberapa anggota polis dan orang awam.

Ini mengakibatkan ramai pemimpin kesatuan pekerja telah ditangkap dan telah dihukum bunuh.

Setelah 2 tahun kemudian kejadian tersebut, Persatuan Buruh Amerika menjadikan 1 Mei sebagai tarikh peringatan Peristiwa Haymarket dan pekerja kilang hanya akan bekerja 8 jam sahaja pada hari tersebut sebagai tanda protes.

Second International iaitu gabungan sosialis sedunia menyambut tindakan tersebut dengan mengisytiharkan 1 Mei ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa.

Cuti Umum Hari Buruh 1 Mei

Di Malaysia terdapat banyak Hari kelepasan Am atau cuti umum diwartakan di bawah Akta Hari Kelepasan  1951 (Akta 369).

Walau bagaimanapun, di bawah Seksyen 60D(1A) Akta 265, majikan diwajibkan untul memberikan cuti pada setiap Cuti Umum yang diwartakan tersebut.

Majikan diberi kebebasan untuk memilih sebelas 11 hari sahaja sebagai cuti berbayar dalam satu tahun di mana Seksyen 60D(1)(a) Akta 265 menyenaraikan Cuti Umum wajib:

i) 5 hari cuti umum yang wajib diberikan dan tidak boleh digantikan dengan hari lain iaitu:

  • Hari Kebangsaan
  • Hari Keputeraan YDP Agong
  • Hari Keputeraan Raja/YDP Pertua Negeri atau Hari Wilayah bagi Wilayah Persekutuan
  • Hari Buruh
  • Hari Malaysia

ii) Baki 6 lagi cuti umum boleh dipilih oleh majikan mengikut budi bicara mereka.

Tema Sambutan Hari Pekerja 2023

Tema sambutan hari tersebut di Malaysia pada tahun 2023 adalah “Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani.”

Sumber : Anwar Ibrahim

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: