D2B JPA: Permohonan Program Diploma To Bachelor 

Pelajar cemerlang lepasan Diploma tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Program Dermasiswa B40 (DB40) dialu-alukan untuk memohon Program Diploma To Bachelor (D2B) di bawah JPA.

D2B ditawarkan kepada pelajar yang akan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) (termasuk Government Linked Universities (GLU)) yang telah dikenal pasti oleh pihak JPA.

Pelaksanaan program ini adalah sebagai usaha JPA dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar tajaan di peringkat Diploma dan memberi nilai tambah kepada penajaan sedia ada.

Di samping itu, program penajaan ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar daripada latar belakang keluarga B40 mengenai peluang-peluang pengajian tinggi dengan berfokuskan kesinambungan bidang pengajian pelajar di peringkat Diploma.

Bagi pelajar yang berminat, mereka boleh membuat permohonan mulai 15 Julai 2022 hingga 24 Julai 2022.

Bidang Pengajian

Bidang pengajian yang layak untuk memohon D2B adalah seperti berikut:

  • Kejuruteraan dan Teknikal
  • Sains dan Teknologi (S&T) dan Sains Ikhtisas (seperti Kewangan, Sains Aktuari, Ekonomi) selaras dengan pengajian yang diikuti pelajar di peringkat Diploma, dengan syarat bidang yang ditawarkan oleh institusi pengajian tersebut mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan/atau diiktiraf oleh Badan Profesional

Senarai IPTS

Senarai pelajar IPTS yang layak memohon adalah seperti:

  • Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  • International Medical University (IMU)
  • Monash University Malaysia
  • University Tenaga Nasional (UNITEN)
  • Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
  • Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
  • Curtin University, Malaysia
  • The University of Nottingham Malaysia Campus (UNM)
  • Swinburne University of Technology Sarawak Campus
  • UCSI University
  • Multimedia University (MMU)
  • Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)
  • Management And Science University (MSU)
  • Taylor’s University
  • Asia Pacific University Of Technology & Innovation (APU)
  • Sunway University
  • SEGi University
  • Manipal International University
  • University of Cyberjaya (UoC)
  • Lincoln University College
  • Tunku Abdul Rahman University College
  • University College TATI
  • Widad University College

Mekanisme Perjanjian

Mekanisme perjanjian bagi penajaan ini adalah seperti:

  • Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
  • Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Syarat Umum

Syarat umum bagi penawaran program ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Mempunyai kesihatan yang baik.
  3. Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitamkan oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
  4. Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana pihak di peringkat pengajian yang sama.
  5. Pelajar merupakan pelajar tajaan JPA semasa peringkat Diploma di bawah Program Dermasiswa B40 (DB40) bagi memohon ke peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu Ijazah Pertama.
  6. Mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) peringkat Diploma minimum 3.50.
  7. Pelajar mestilah telah menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak pernah membuat sebarang pelanjutan bagi pengajian semasa di peringkat Diploma.
  8. Pelajar yang layak memohon adalah pelajar yang telah menamatkan pengajian peringkat Diploma pada tahun 2021 hingga tarikh tutup permohonan pada masa permohonan dibuka, di mana ia bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan tempat pengajian pada peringkat Ijazah Pertama.

Syarat Khusus

Syarat khusus untuk penajaan ini adalah seperti berikut:

  1. Pelajar perlu memulakan pengajian Ijazah Pertama secara sepenuh masa sebelum atau pada 31 Disember 2022 di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dikenal pasti sahaja.
  2. Tempoh penajaan maksima bagi peringkat Ijazah Pertama adalah 4 tahun.
  3. Keutamaan diberikan untuk pelajar yang diberi kebenaran untuk pemindahan kredit bagi pengajian Ijazah Pertama.

Cara Memohon

Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang eSILA https://esilav2.jpa.gov.my selama 10 hari mulai 15 Julai 2022 (Jumaat) jam 5.00 petang sehingga 24 Julai 2022 (Ahad) jam 5.00 petang.

Keputusan permohonan penajaan ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang yang sama pada minggu ke-2 bulan September 2022.

Calon-calon yang memohon program penajaan ini dan melepasi syaratsyarat permohonan yang telah ditetapkan dikehendaki untuk menghadiri sesi Student Assessment Centre (SAC) yang dijadualkan pada pertengahan Ogos 2022.

Pertanyaan Lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai D2B, sila email ke [email protected].

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: