Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuka permohonan kepada calon-calon Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 untuk memohon penajaan di bawah Program Dermasiswa B40 (DB40).
DB40 mensasarkan pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma di institusi yang
dikenal pasti daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah, iaitu golongan B40 untuk diberi penajaan secara kaedah dermasiswa.
Matlamat pelaksanaan program ini adalah bagi membantu pelajar-pelajar SPM 2021 dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah iaitu golongan B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya di peringkat Diploma dalam bidang berfokuskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Universiti Awam (UA), Politeknik dan Institut Kemahiran Awam (IKA).
Pemohon yang berminat boleh membuat permohonan mulai 15 Julai 2022 sehingga 24 Julai 2022 secara atas talian.
Syarat Umum
Syarat umum yang ditetapkan oleh pihak JPA adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Mempunyai kesihatan yang baik.
- Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh pihak JPA.
- Menduduki peperiksaan SPM 2021 buat kali pertama di mana-mana sekolah menengah termasuk sekolah khas, sekolah swasta atau calon-calon persendirian.
- Umur belum mencapai 19 tahun, atau belum mencapai 20 tahun bagi pelajar peralihan pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki; dan
- Pendapatan perkapita dalam kategori B40 iaitu RM4,849.00 sebulan dan ke bawah.
Syarat Khusus
Selain itu, syarat khusus yang ditetapkan kepada pemohon adalah seperti berikut:
i) Bagi Universiti Awam (UA)/ Politeknik yang dikenalpasti:
- Menduduki SPM 2021 dan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam mana-mana 3 subjek lain yang diambil; dan
- Telah mendapat tempat dan memulakan pengajian di institusi pengajian tersebut.
ii) Bagi Institut Kemahiran Awam yang merangkumi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN)/Institut Kemahiran MARA/Kolej Kemahiran Tinggi MARA/Kolej Komuniti/Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC)/Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI):
- Menduduki SPM 2021 dan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam mana-mana 1 subjek lain yang diambil; dan
- Telah mendapat tempat dan memulakan pengajian di institusi pengajian tersebut.
Bidang Pengajian Tidak Ditaja
Bidang pengajian yang tidak ditaja adalah:
- Pendidikan
- Kejururawatan
- Sijil Profesional untuk perlesenan seperti lesen penerbangan (Aircraft Maintenance License) serta kursus profesional seperti Certified Legal Practitioner (CLP) dan Chartered Accountancy (CA).
Cara Memohon
Permohonan boleh dibuat dalam talian di laman sesawang eSILA iaitu https://esilav2.jpa.gov.my selama 10 hari mulai 15 Julai 2022 (Jumaat) jam 5.00 petang sehingga 24 Julai 2022 (Ahad) jam 5.00 petang.
Keputusan permohonan penajaan ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang yang sama pada minggu ke-2 bulan September 2022.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai DB40, sila layari laman web https://esilav2.jpa.gov.my/.