Cara Mohon Diskaun & Penangguhan Bayaran Balik PTPTN

Menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbada­nan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20% selama 3 bulan bermula 1 Mac 2023.

Tujuan utama inisiatif ini diberikan adalah bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan terutamanya kepada mereka yang memperoleh pendapatan yang rendah.

Ini juga dapat memberi peluang atau tempoh kepada mereka untuk mendapat pekerjaan yang lebih tinggi.

Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan Kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh 6 bulan.

Permohonan penangguhan ini juga boleh dibuat mulai 1 Mac 2023 kepada peminjam yang tergolong dalam kategori ini.

Pelaksanaan Diskaun PTPTN 2023

Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20% berkuatkuasa mulai 1 Mac 2023 hingga 31 Mei 2023 meliputi 4 kategori seperti berikut:

  1. Diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
  2. Diskaun 15% untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan baki hutang.
  3. Diskaun 15% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik.
  4. Diskaun 5% untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

i) Penyelesaian Penuh

Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini.

ii) Penyelesaian 50% daripada baki hutang

Peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.

iii) Bayaran melalui potongan gaji atau debit terus

Peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) adalah layak mendapat diskaun 15% secara automatik.

Manakala, peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Peminjam boleh memilih salah satu atau kedua-dua saluran untuk menikmati insentif ini.

iv) Bayaran melalui aplikasi myPTPTN

Diskaun 5% juga diberikan bagi bayaran balik yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN.

Peminjam boleh memuat turun aplikasi myPTPTN melalui “App Store” bagi pengguna iOS, “Play Store” bagi pengguna Android dan “Huawei AppGallery” bagi pengguna Huawei.

Peminjam PTPTN hanya perlu melalui proses aturan keselamatan yang mudah dan seterusnya dapat menggunakan aplikasi ini dengan cepat dan selamat dan juga boleh mengakses portal myPTPTN dengan melayari myptptn.ptptn.gov.my.

Pelaksanaan Penangguhan Bayaran Balik

Pelaksanaan penangguhan bayaran balik adalah seperti berikut:

  1. Semua peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai pendapatan bulanan RM1,800.00 (gaji kasar) ke bawah layak memohon penangguhan kecuali peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.
  2. Permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023 melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.
  3. Peminjam perlu melengkapkan maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini dan membuat perakuan kebenaran ke atas maklumat yang diberikan.
  4. PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui email yang dikemas kini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.
  5. Peminjam yang diluluskan penangguhan, akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuatkuasa. Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan.

Permohonan Penangguhan Bayaran Balik

Permohonan penangguhan bayaran balik boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalik/.
  2. Masukkan no pinjaman dan kad pengenalan.
  3. Klik butang ‘Log Masuk.’
  4. Buat permohonan penangguhan sehingga tamat.

Maklumat Lanjut Tentang Diskaun PTPTN 2023 & Permohonan Penangguhan

Untuk makluman lanjut mengenai diskaun 20% dan penangguhan bayaran balik PTPTN ini, sila layari laman web PTPTN https://www.ptptn.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: