Dual Language Programme (DLP) KPM: Kelebihan & Kekurangan

Ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah pasti berkira-kira untuk memasukkan anak mereka bagi memasuki kelas Dual Language Programme (DLP).

Apakah yang dimaksudkan dengan DLP ini?

DLP ialah program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran bidang sains dan matematik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Tidak semua sekolah yang menjalankan program DLP ini dan hanya sekolah terpilih yang menepati kriteria sahaja boleh menjalankan program ini.

Objektif Pelaksanaan

Objektif pelaksanaan program ini diwujudkan adalah untuk:

  • Memberi peluang meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid melalui pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.
  • Memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing pada peringkat global.
  • Meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan.

Kriteria Sekolah

Kriteria sekolah yang layak untuk melaksanakan program ini adalah seperti berikut:

  • Sekolah mempunyai sumber yang mencukupi
    – Sekolah hendaklah mempunyai guru yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk mengajar mata pelajaran bidang Sains dan/atau matematik dalam Bahasa Inggeris.
    – Sekolah hendaklah mempunyai bilik darjah dan/atau bilik-bilik khas yang mencukupi untuk melaksanakan PdP DLP.
  • Pengetua/Guru Besar (PGB) mempunyai perancangan untuk melaksanakan DLP
    – PGB hendaklah mengadakan perbincangan bersama-sama guru dengan bimbingan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyediakan perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang merangkumi aspek seperti guru, murid, bilik darjah, dan sumber PdP bagi memastikan keberkesanan dan kelangsungan pelaksanaan DLP di peringkat sekolah.
  • Permohonan daripada ibu bapa/penjaga
    – Sekolah hendaklah menerima sekurang-kurangnya 15 permohonan secara bertulis daripada ibu bapa/penjaga sebelum kelas yang melaksanakan DLP boleh dibuka.
    – Ibu bapa/penjaga yang memohon perlu dimaklumkan jika bilangan permohonan adalah tidak mencukupi bagi pembukaan kelas yang melaksanakan DLP.
  • Pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
    – Peratus pencapaian Tahap Penguasaan Minimum Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan UPSR dan gred purata mata pelajaran (GPMP) Bahasa Melayu SPM sekolah bagi tahun sebelumnya hendaklah menyamai atau lebih baik daripada pencapaian yang ditetapkan oleh KPM.

Kelebihan Program

Antara kelebihan murid yang menyertai kelas ini adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris terutamanya mereka yang berbahasa Inggeris di rumah.
  • Meningkatkan daya ingatan murid bagi mereka yang mempunyai daya ingatan yang tinggi.

Kekurangan Program

Namun, terdapat juga kekurangan program ini bagi seperti:

  • Jika murid tersebut telah terpilih dalam kelas DLP, mereka tidak boleh bertukar ke aliran kelas biasa. Jika mereka ingin berpindah sekolah, mereka perlu berpindah ke sekolah yang menawarkan kelas DLP juga.
  • Jika murid menyertai kelas DLP peringkat sekolah rendah, mereka perlu meneruskan kelas DLP di sekolah menengah.
  • Berisiko untuk murid yang gagal mengikuti kelas ini dengan baik terutamanya apabila pembelajaran Sains dan Matematik yang melibatkan terma yang sukar.

Kesimpulan

Kesimpulannya, ibu bapa perlu membuat pertimbangan yang bijak sebelum membuat keputusan sama ada menghantar anak mereka ke kelas ini atau sebaliknya.

Maklumat lanjut mengenai DLP boleh dirujuk menerusi laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: