3 Doa Menyambut Bulan Ramadan

Apabila bulan puasa atau Ramadan bakal menjelma, kita disunatkan untuk membaca doa menyambut bulan Ramadan.

Ini bertujuan untuk kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan untuk kita benar-benar mampu untuk menempuhi bulan tersebut.

Untuk pengetahuan, perkataan Ramadan diambil dari kata akar (رمض) yang membawa maksud panas yang sedang semakin hangat.

Dari segi istilah, Ramadan bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.

Koleksi Doa Menyambut Ramadan

Antara doa menyambut bulan Ramadan yang boleh diamalkan berdasarkan hadis daripada Rasulullah S.A.W adalah seperti berikut:

1. Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah S.A.W berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan.”

2. Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah S.A.W berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan:

اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ

Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”

3. Terdapat ramai di kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadhan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh.

Antara doa mereka ialah:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)

Sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1157-bayan-linnas-siri-62-ahlan-wa-sahlan-ya-ramadhan

Hendaklah kita merasa gembira dengan Ramadan yang bakal menjelma dengan tawaran tuhan yang lumayan. Sebaliknya golongan munafiq pula merasa gelisah, buntu dengan Ramadan.

Maka benarlah sabda Nabi ﷺ :

أَظَلَّكُمْ شَهْرُكُمْ هَذَا بِمَحْلُوفِ رَسُولِ اللهِ، مَا مَرَّ بِالْمُؤْمِنِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ، وَلَا بِالْمُنَافِقِينَ شَهْرٌ شَرٌّ لَهُمْ مِنْهُ، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَكْتُبُ أَجْرَهُ وَنَوَافِلَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ، وَيَكْتُبُ إِصْرَهُ وَشَقَاءَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ

Maksudnya: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah ﷺ bersumpah: “Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah ﷻ menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan.”

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (8870) & Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1884). Sanadnya dho’if kerana terdapatnya Tamim maula Abu Rumanah.

(Sumber : JAKIM)

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: