Permohonan Insentif Pendidikan Koperasi Polis Sehingga RM500
Anak-anak anggota Polis yang cemerlang dalam pelajaran sama ada peringkat rendah dan tinggi boleh memohon Insentif Pendidikan daripada Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad (KPDRM).
Untuk makluman, KPDRM ditubuhkan pada 24 April 1928 bagi tujuan membantu mengurangkan bebanan kewangan anggota polis dan kakitangan di Jabatan Polis.
KPDRM merupakan merupakan salah satu dari empat institusi kewangan diiktiraf oleh Parlimen sebagai Agensi Dana Bumiputra dan telah berkembang daripada sebuah koperasi yang menyediakan urusan pinjam-meminjam kepada sebuah konglomerat yang sehingga kini memiliki aset pada nilai buku sebanyak RM689.5 juta.
Oleh kerana itu, KPDRM telah memperkenalkan Insentif Pendidikan KPDRM ini bagi menghargai anak-anak anggota Polis yang cemerlang dalam pelajaran mereka.
Anak-anak anggota Polis yang berminat untuk memohon Insentif Pendidikan ini boleh membuat permohonan dan tarikh tutup permohonan ialah tiga bulan selepas keputusan peperiksaan diumumkan.
Jumlah Insentif
Jumlah insentif yang diberikan melalui Insentif Pendidikan KPDRM ini adalah mengikut peringkat pengajian.
i) Insentif Pelajaran Rendah
Peperiksaan | Kelayakan Akademik | Jumlah Insentif |
UPSR | 4A 2B | RM100.00 |
PT3 | 5A 3B | RM150.00 |
SPM | 5A 3B | RM200.00 |
STPM | CGPA 3.00 Ke Atas | RM300.00 |
MATRIKS | CGPA 3.00 Ke Atas | RM300.00 |
ii) Insentif Pelajaran Tinggi
Peperiksaan | Kelayakan Akademik | Jumlah Insentif |
Diploma | CGPA 3.00 Ke Atas | RM400.00 |
Ijazah Ke Atas | CGPA 3.00 Ke Atas | RM500.00 |
Syarat Permohonan
Syarat permohonan yang perlu dipenuhi pemohon adalah seperti berikut:
- Insentif Pelajaran adalah terbuka untuk Anggota dan anak-anak Anggota Koperasi Polis sahaja.
- Anak anggota yang telah berkahwin tidak layan memohon.
- Keanggotaan ibu bapa/penjaga dan Anggota yang memohon mestilah tidak kurang 5 tahun berturut-turut pada keanggotaan pertama dan tidak kurang 3 tahun berturut-turut pada keanggotaan kedua dari tarikh tutup iklan permohonan.
- Bekas anggota yang telah berhenti dengan sebab bersara atau meninggal dunia serta memenuhi syarat di nombor 1, anak-anak mereka layak memohon. Anggota Polis yang berhenti dengan sebab peribadi tidak akan dipertimbangkan.
- Insentif Pelajaran Rendah Koperasi Polis dibuka kepada pelajar cemerlang yang memenuhi syarat kelayakan semasa.
- Insentif Pelajaran Tinggi hanya dibuka untuk pemohon tahun akhir sahaja dan telah disahkan lulus untuk mendapat Diploma/Ijazah mengikut syarat kelayakan seperti di jadual dan tamat pengajian mengikut tahun semasa.
- Kursus-kursus pengajian yang diikuti di IPTS perlu mendapat pengesahan/pengiktirafan daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN).
- Bayaran Insentif Pelajaran diberi hanya sekali sahaja bagi setiap kategori.
Cara Memohon
Untuk membuat permohonan Insentif Pendidikan KPDRM ini, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:
- Muat turun borang permohonan di pautan berikut iaitu bit.ly/BorangInsentifPendidikan.
- Isi borang permohonan tersebut dengan lengkap dan betul.
- Hantar borang permohonan tersebut ke alamat berikut:
Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad,
No 1, Jalan Sultan Sulaiman,
50000 Kuala Lumpur.
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan mengenai Insentif Pendidikan KPDRM ini, sila hubungi pihak KPDRM di talian 03-2260 8999/03-2260 8888.