IPIM: Pembelajaran Pelajar Menerusi Pengalaman Muzium

Bagi guru yang ingin menjalankan pembelajaran menerusi pengalaman di muzium, mereka boleh menjalankan pembelajaran tersebut menerusi Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM).
Berikut adalah maklumat dan info mengenai program ini.

Mengenai IPIM
IPIM merupakan program pendidikan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia khususnya Jabatan Muzium Malaysia (JMM).
Matlamat program ini adalah untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah dengan memberi pengalaman pembelajaran di institusi muzium.
Di samping itu juga, guru boleh menjadikan institusi muzium ini sebagai sistem sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mantap dalam usaha peningkatan kemenjadian murid.
Selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) yang menitik beratkan usaha memupuk minat pelajar menghayati sejarah turut menguatkan konsep IPIM sebagai suatu program yang amat relevan yang harus direalisasikan.
Sehubungan itu, program ini secara langsung dapat menzahirkan aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran dwibahasa serta etika dan kerohanian dengan menggunakan modul-modul permuziuman yang dirangka bagi membantu PdP.
Program ini mempunyai impak yang tinggi kepada sistem pendidikan dan juga peranan institusi muzium dalam usaha memartabatkan khazanah negara.
Melalui projek rintis yang telah dilaksanakan pada April hingga Mei 2015, dapatan rintis ini membuktikan kesesuaian muzium berfungsi sebagai salah satu tempat rujukan bagi membantu pendidik serta pelajar dalam PdP serta memperluaskan pengetahuan sedia ada pelajar dalam mata pelajaran Sejarah.
Program ini terbahagi kepada dua fasa, iaitu jangka masa bagi satu fasa adalah dicadangkan selama dua tahun. Program IPIM di peringkat Fasa I dan II akan memberi fokus kepada mata pelajaran teras akademik iaitu Sejarah sahaja dan keberkesanan program ke atas mata pelajaran berkenaan.
Walau bagaimanapun, bagi strategi jangka panjang program ini akan diperluas pada peringkat pertengahan Fasa II dengan melibatkan mata pelajaran teras akademik yang lain.
Tarikh Mula Program
Untuk tahun 2025, tarikh mula program ini adalah pada 16 April 2025.
Konsep IPIM
Program ini merupakan program pembangunan sahsiah pelajar dan guru di sekolah yang menggalakkan setiap pelajar dari Tahun 4 di sekolah rendah hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah melawat muzium sekurang-kurangnya sebuah muzium pada satu tahap persekolahan.
Tempoh masa program dijalankan adalah pada bulan Februari hingga Ogos setiap tahun.
Program ini juga menggalakkan setiap siswa pendidik di IPG dan IPTA melawat dan menjalankan kegiatan sekurang-kurangnya satu buah muzium dalam tempoh sesi pengajian yang dikendalikan secara terancang dan sistematik.
Kumpulan Sasaran
Program ini dilaksanakan kepada pelajar Tahap 2 di sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah.
Setiap pelajar diberi peluang sekurang-kurangnya sekali ke satu muzium dalam tempoh satu tahap persekolahan seperti butiran berikut:
- Sekolah rendah : Tahun 4; Tahun 5; dan Tahun 6;
- Sekolah menengah: Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, Tingkatan 4,Tingkatan 5 dan Tingkatan 6;
- Sekolah kurang pelajar (SKM): menggabungkan kumpulan pelajardaripada pelbagai Tahun/Tingkatan; dan
- Guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah. Program ini juga menggalakkan setiap siswa pendidik di IPG dan IPTA melawat dan menjalankan kegiatan sekurang-kurangnya satu buah muzium dalam tempoh sesi pengajian yang dikendalikan secara terancang dan sistematik.
Senarai Muzium Yang Terlibat
Senarai muzium yang terlibat adalah seperti berikut:
Muzium | Negeri |
Muzium Negara Muzium Tekstil Negara Muzium Diraja Muzium Etnologi Dunia Melayu Muzium Seni Kraf Orang Asli Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia Muzium Polis Diraja Malaysia | Kuala Lumpur |
Muzium Kota Johor Lama Galeri Dato’Onn Muzium Kota Tinggi | Johor |
Muzium Adat Muzium Lukut Teratak Zaaba Muzium Rembau Muzium Tentera Darat Malaysia | Negeri Sembilan |
Muzium Seni Bina Malaysia Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka Muzium Sejarah dan Etnografi Muzium Rakyat Muzium Samudera | Melaka |
Muzium Perak Muzium Matang Galeri Sultan Azlan Shah Muzium Beruas Kompleks Sejarah Pasir Salak Muzium Darul Ridzuan | Perak |
Muzium Sg Lembing Muzium Negeri Pahang | Pahang |
Galeria Perdana Muzium Arkeologi Lembang Bujang Muzium Kota Kuala Kedah Muzium Negeri Kedah | Kedah |
Muzium Kota Kayang | Perlis |
Muzium Labuan Muzium Chimney | Labuan |
Muzium Sultan Alam Shah | Selangor |
Muzium Negeri Kelantan | Kelantan |
Muzium Negeri Terengganu | Terengganu |
Muzium Negeri Pulau Pinang | Pulau Pinang |
Muzium Sabah | Sabah |
Muzium Sarawak Muzium Warisan Islam Muzium Sejarah Cina | Sarawak |
Cara Memohon
Permohonan boleh dibuat dengan mengisi maklumat dan butir-butir permohonan di pautan http://ipim.jmm.gov.my/form-permohonan-ipim.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai program ini, sila layari laman web https://ipim.jmm.gov.my/ atau menghubungi 03-2267 100 samb.111/166.
Baca juga: HLP PPPT 2025: Semakan Keputusan Penajaan