Kadar Baharu RMT Mulai 6 November 2022

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi seorang murid akan dinaikkan mulai 6 November 2022.

RMT ialah pemberian makanan tambahan, iaitu ¼ – ⅓ daripada jumlah keperluan harian bagi
seorang murid sekolah dari segi taraf pemakanan.

Secara umumnya, rancangan makanan ini bertujuan untuk memberi makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah, secara imbuhan untuk sementara waktu, bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Secara spesifiknya, rancangan makanan ini dilaksanakan untuk:

  1. Untuk memberi makanan tambahan yang berzat dan seimbang kepada murid-murid yang berkenaan untuk membantu mereka mengatasi pelbagai masalah dari segi pertumbuhan badan dan kekurangan tenaga.
  2. Untuk menyelenggarakan pendidikan kesihatan dan pemakanan secara langsung dan tidak langsung.
  3. Untuk memupuk budaya sopan santun, disiplin, timbang rasa serta amalan-amalan yang diingini berkaitan dengan kebersihan diri, kebersihan makanan dan kebersihan alam sekitar.
  4. Untuk memperkasakan Amalan Makanan dan Pemakanan kerana program ini mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat.
  5. Untuk menggalakkan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam usaha-usaha sekolah, terutama Program RMT.

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan untuk menerima inisiatif ini adalah seperti berikut:

  1. Murid warganegara Malaysia dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.
  2. Pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) adalah di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) Nasional (kategori miskin tegar).
  3. Murid yang berada di Sekolah Orang Asli/Penan (kecuali murid yang tinggal di asrama) dan Murid Berkeperluan Khas (OKU).
  4. Murid yang tinggal di asrama tidak layak menerima rancangan makanan ini.

Tempoh Pelaksanaan

Tempoh pelaksanaan rancangan makanan ini bermula pada hari pertama persekolahan (Tahun 2-
Tahun 6), manakala bagi murid Tahun 1 dan kes keciciran pemohon (Tahun 2 – Tahun 6), bermula pada 1 Februari tahun semasa.

Pelaksanaan bantuan rancangan makanan ini adalah tidak melebihi 190 hari persekolahan setiap tahun (tertakluk kepada perubahan).

Bagi sekolah yang terdapat murid-murid beragama Islam, pemberian rancangan makanan ini dihentikan untuk sementara waktu pada bulan Ramadan, tetapi bilangan hari bagi makanan tambahan adalah tetap sama.

Kadar Baharu

Kadar baharu RMT di seluruh negara adalah seperti berikut:

  • Semenanjung Malaysia: Dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50.
  • Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan: Dinaikkan daripada RM3.00 kepada RM4.00.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan RMT, sila layari laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: