Kata Bantu: Maksud, Jenis & Contoh Penggunaannya

Apakah yang dimaksudkan dengan kata bantu? Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata bantu ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu menimbulkan makna-makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam.

Dalam erti kata yang lain, kata bantu tersebut membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Oleh kerana itu, kata bantu hadir sebelum frasa dan tidak boleh hadir selepas frasa.

Maksud Frasa Kerja, Adjektif, & Sendi Nama

Apakah dimaksudkan dengan frasa kerja? Frasa kerja ialah binaan ayat yang mengandungi satu perkataan atau lebih dengan kata intinya ialah kata kerja.

Contoh frasa kerja ialah tidur/hendak tidur/belum hendak tidur.

Frasa adjektif ialah bertindak sebagai predikat atau mempunyai unsur keterangan dalam predikat.

Contoh frasa adjektif ialah “Adiknya sangat pandai.” Perkataan sangat pandai ialah frasa adjektif yang merujuk kepada adik sebagai objek.

Frasa sendi nama ialah satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu kata sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi.

Sebagai contoh, “Rakan-rakan saya di kedai buku.” Perkataan di tersebut ialah kata sendi yang diikuti dengan kedai buku sebagai frasa nama.

Jenis Kata Bantu

Terdapat dua jenis kata bantu yang perlu diketahui iaitu:

  • Kata Bantu Aspek
  • Kata Bantu Ragam

Kata Bantu Aspek

Kata bantu aspek ialah menunjukkan sama ada perbuatan itu sudah, sedang atau belum dibuat.

Kata bantu jenis ini akan menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada lampau, kini atau masa hadapan.

Bentuk-bentuk kata bantu aspek ialah baru, pernah, telah, sedang, masih, akan dan belum.

Contoh ayat kata bantu aspek yang boleh menjadi rujukan adalah seperti:

  • Masa kini: “Mereka sedang mendengar muzik.”
  • Masa lampau: “Ali baru pulang dari Jakarta.”
  • Masa hadapan: “Harimau Malaya dikhuatiri akan pupus.”

Kata Bantu Ragam

Kata bantu ragam ialah bentuk kata yang menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan seperti hendak, mahu, harus, mesti, boleh dan dapat.

Kata bantu ragam juga menerangkan perasaan dan pendapat orang yang melakukan perbuatan ini.

Bentuk-bentuk kata bantu ragam ialah hendak, mahu, ingin, harus, mesti, perlu, wajib, boleh, dapat, dan mungkin.

Contoh ayat kata bantu ragam ialah:

  • Hendak/kemahuran melakukan sesuatu: “Ibu hendak ke pasar tani.”
  • Mesti melakukan sesuatu: “Abu mesti ke sekolah.”
  • Mampu melakukan sesuatu: “Rashid mungkin selamat jika dirawat oleh doktor.”

Infot Lanjut

Untuk info lebih lanjut lagi, sila tonton video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=qlPoTcc4qtw.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: