Kata Penguat: Maksud & Contoh Perkataan
Sebahagian perkataan memerlukan Kata Penguat untuk menguatkan sesuatu perkataan dalam ayat yang dibina.
Murid mestilah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kata ini dan bagaimanakah ingin menggunakannya.
Maksud Kata Penguat
Kata Penguat ialah kata yang digunakan untuk menguatkan maksud sesuatu kata adjektif atau frasa adjektif.
Kata ini boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif.
Jenis Kata Penguat
Terdapat 3 jenis kata ini di dalam tatabahasa Bahasa Melayu iaitu:
Jenis | Maksud | Contoh Perkataan |
Hadapan | Hadir di hadapan kata atau frasa adjektif | agak, paling, dan terlalu |
Belakang | Hadir di belakang kata atau frasa adjektif | sekali, benar, betul dan nian |
Bebas | Hadir di hadapan atau di belakang kata atau frasa adjektif | sangat, amat, dan sungguh |
Contoh Ayat
Contoh ayat yang boleh dijadikan panduan adalah seperti berikut:
i) Hadapan
- Minuman itu agak manis.
- Murid yang paling pintar di sekolah ialah Osman.
- Harga baju itu terlalu mahal.
ii) Belakang
- Buah mangga itu manis sekali.
- Lambat benar Pak Ali datang.
- Indah nian pemandangan di sini.
- Bunyi letupan itu kuat benar.
iii) Bebas
- Kereta api itu sangat laju.
- Pakaian seragam pasukan pengakap itu amat kemas.
- Abu terbeli baju yang besar sangat.
Dalam penulisan atau binaan ayat, kata adjektif hanya boleh menerima satu kata ini sahaja.
Ayat | Status Ayat |
Jalan raya itu terlalu licin sekali terutama selepas hari hujan. | Salah |
Jalan raya itu terlalu licin terutama selepas hari hujan | Betul |
Jalan raya itu licin sekali terutama selepas hari hujan | Betul |
Kesilapan Umum
Salah satu kesilapan yang wujud ialah menggunakan kata ini kepada kata adjektif yang telah sedia berimbuhan ter- seperti contoh di bawah:
Ayat | Status Ayat |
Kamarul mendapat markah penulisan yang tertinggi sekali di dalam kelasnya | Salah |
Kamarul mendapat markah penulisan yang tertinggi di dalam kelasnya | Betul |
Kesilapan yang lain adalah menggunakan dua kata penguat sekali gus bagi kata adjektif dalam ayat seperti contoh:
Ayat | Status Ayat |
Pameran lukisan itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan betul daripada orang ramai. | Salah |
Pameran lukisan itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada orang ramai. | Betul |
Pameran lukisan itu mendapat sambutan yang menggalakkan betul daripada orang ramai. | Betul |
Baca juga: Kata Perintah: Maksud, Jenis & Contoh Ayat