Kelebihan Tingkatan 6 & Syarat Kemasukan

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai beberapa pilihan untuk meneruskan pengajian mereka dan salah satunya adalah memasuki Tingkatan 6.

Untuk makluman, Tingkatan 6 di Malaysia telah mula beroperasi di sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah bantuan kerajaan kira-kira lebih daripada 50 tahun dahulu.

Pada masa tersebut, bilangan kelas Tingkatan 6 yang di tawarkan ialah minimum 2 kelas dan maksimum 22 kelas dengan 2 bidang yang ditawarkan iaitu bidang Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan Bidang Sains.

Namun mulai tahun 2008, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah penambahbaikan dari segi pengurusan dan fungsi Tingkatan 6 serta kebajikan murid diberi tumpuan untuk mendaikan proses pengajaran dan pembelajaran Tingkatan 6 lebih menarik serta menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.

Ini kemudiannya membawa kepada pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang dimulakan pada tahun 2012 setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012.

Kelebihan Tingkatan 6

Antara kelebihan bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 adalah:

  • Pelajar dibenarkan mengulang semula peperiksaan untuk subjek yang gagal atau tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
  • Struktur pengajian yang merangkumi kemahiran soft skill serta akademik.
  • Sijil STPM yang diperoleh boleh digunakan memohon pekerjaan di sektor awam dan swasta terutamanya bagi gred N29 dan ke bawah.
  • Pelajar lepasan SPM boleh memohon ke Tingkatan 6 sehingga umur 20 tahun.
  • Peperiksaan STPM diiktiraf oleh IPT dalam dan luar negara.

Tempoh Pengajian & Bilangan Semester

Bagi murid yang meyambung pengajian di Tingkatan 6, tempoh pengajian yang akan dilalui adalah adalah selama 1 ½ tahun.

Dalam tempoh ini, murid-murid akan menempuh 3 semester iaitu:

  • Semester 1 yang berlangsung selama 26 minggu merangkumi :
    – Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
    – Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
    – Peperiksaan Semester 1 (S1) 
  • Semester 2 yang berlangsung selama 20 minggu merangkumi:
    – Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
    – Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
    – Peperiksaan Semester 2 (S2)
  • Semester 3 yang merangkumi 26 minggu akan melibatkan pembelajaran seperti:
    – Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
    – Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
    – Peperiksaan Semester 3 (S3), peperiksaan Ulang 1 (U1) dan peperiksaan Ulang 2 (U2)

Subjek Pembelajaran

Bagi pelajar Tingkatan 6, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan dalam sistem pentaksiran baharu STPM.

Walau bagaimanapun, hanya 4 atau 5 mata pelajaran sahaja yang perlu dipilih termasuk mata pelajaran Pengajian Am sebagai mata pelajaran wajib manakala mata pelajaran MUET wajib diambil oleh semua murid.

Mulai tahun 2019 mata pelajaran Tahfiz Al-Quran telah dimasukkan sebagai salah satu mata pelajaran STPM, menjadikan jumlah keseluruhan mata pelajaran yang ditawarkan adalah sebanyak 23 mata pelajaran.

  1. Pengajian Am
  2. Bahasa Melayu
  3. Bahasa Cina
  4. Bahasa Tamil
  5. Bahasa Arab
  6. Literature in English
  7. Kesusasteraan Melayu Komunikatif
  8. Syariah
  9. Usuluddin
  10. Sejarah
  11. Geografi
  12. Ekonomi
  13. Pengajian Perniagaan
  14. Perakaunan
  15. Mathematics (M)
  16. Mathematics (T)
  17. Information and Communications Technology (ICT)
  18. Physics
  19. Chemistry
  20. Biology
  21. Sains Sukan
  22. Seni Visual
  23. Tahfiz Al-Quran

Syarat Kemasukan

Syarat kemasukan bagi Tingkatan 6 adalah terdiri daripada syarat am dan syarat khas.

Syarat am yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Murid lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
  2. Murid berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari tahun semasa.

Syarat khas pula yang perlu dipenuhi murid adalah seperti berikut:

  1. Bidang STEM: Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
  2. Bidang Sains Sosial
    -Sekolah Menengah Harian: Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
    – Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK): Mendapat sekurang-kurangnya Gred D bagi mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
    – Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Berasrama Penuh bagi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu: Mendapat sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.

Bagi murid bekeperluan khas, syarat khas yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Bidang STEM: Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
  2. Bidang Sains Sosial
    – Sekolah Menengah Harian- Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
    – Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK): Mendapat sekurang-kurangnya Gred D bagi mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
    – Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Berasrama Penuh bagi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu: Mendapat sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.

Maklumat Lanjut Tentang Kelebihan Tingkatan 6

Untuk maklumat lanjut mengenai Tingkatan 6, sila layari laman web https://www.moe.gov.my/pendidikan/lepas-menengah/tingkatan-6.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: