Langkah Mencegah Penularan Influenza-Like Illness (ILI) Di Sekolah

Penularan kluster Influenza-Like Illness (ILI) telah dikesan di beberapa buah sekolah di seluruh negara terutamanya sekolah berasrama baru-baru ini.

Beberapa kejadian kluster ini dilaporkan di sekolah berasrama di Gombak, Petaling dan juga di Ipoh.

Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan kesemua kes tersebut berada dalam keadaan terkawal dan hanya memerlukan pemantauan serta pengasingan sahaja.

Penilaian risiko akan dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya wujud keperluan untuk proses penutupan mana-mana sekolah atau institusi pendidikan.

Mengenai ILI

ILI merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam demam berserta gejala jangkitan salur pernafasan seperti batuk dan/atau sakit tekak serta mungkin mengalami sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Penyakit ini termasuklah penyakit influenza atau penyakit lain yang mempunyai gejala yang sama dan kebanyakan pesakit ILI mengalami gejala ringan dan sembuh tanpa rawatan.

Namun, ILI boleh menyebabkan gejala yang teruk atau komplikasi jangkitan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanakkanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang menghidap
penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain.

Oleh kerana demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera dan polis. 

Mereka yang dijangkiti penyakit ini di asrama sekolah akan diasingkan daripada mereka yang sihat supaya ia tidak menular secara meluas dan mereka yang tidak sihat juga tidak digalakkan datang bekerja atau bersekolah. 

Langkah-Langkah Pencegahan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan bagi mencegah daripada penyakit ini menular iaitu:

  1. Menasihatkan murid dan warga institusi pendidikan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala ILI seperti demam berserta gejala jangkitan salur pernafasan seperti batuk dan/atau sakit tekak dan/atau lain-lain gejala yang berkaitan.
  2. Murid yang tinggal di asrama yang mempunyai gejala ILI hendaklah diasingkan di bilik sakit dan pihak institusi pendidikan perlu menghubungi segera ibu bapa/penjaga untuk menjemput murid pulang bagi mendapatkan rawatan atau pihak institusi pendidikan membawa murid ke klinik/hospital yang berhampiran bagi mendapatkan rawatan dengan persetujuan ibu bapa/penjaga.
  3. Menasihati murid yang mempunyai gejala ILI untuk berehat di asrama/rumah dan mengelak daripada berada di tempat sesak.
  4. Menyarankan murid mengamalkan pemakaian pelitup muka (face mask) sekiranya perlu bertemu dengan orang lain dan berada di tempat awam.
  5. Mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan diri kepada warga institusi Pendidikan. Murid adalah perlu diingatkan agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul serta mengamalkan cara hidup sihat.
  6. Memberi kefahaman kepada ibu bapa/penjaga mengenai peranan mereka dalam usaha mencegah penularan jangkitan ILI di institusi pendidikan dan peka kepada status kesihatan anak/anak jagaan mereka.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai pencegahan ILI di sekolah, sila layari laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: