Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sudah pasti tertunggu-tunggu permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dibuka menerusi UPUOnline.
Untuk makluman, permohonan kemasukan ke IPT bagi lepasan SPM dan STPM dilakukan menerusi sistem UPUOnline.
UPUOnline merupakan sistem permohonan kemasukan pelajar lepasan SPM dan STPM secara online yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Selain membuat permohonan kemasukan ke IPT, pemohon yang gagal dalam permohonan juga boleh membuat rayuan melalui sistem ini dan ini adalah tertakluk kepada pengumuman yang dibuat oleh KPT dari semasa ke semasa.
Kemasukan Ke IPT
Sistem UPUOnline merupakan sistem yang membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM memohon kemasukan ke IPT berikut:
- Universiti Awam (UA)
- Politeknik Konvensional
- Politeknik Premier
- Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA)
- Kolej Komuniti
Syarat Am Permohonan
Syarat am permohonan ke IPT bagi lepasan SPM seluruh Malaysia adalah seperti berikut:
- Pemohon ialah warganegara Malaysia.
- Memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia/setaraf (SPM/setaraf) dengan mendapat sekurang-kurangnya 5 kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam peperiksaan SPM.
Manakala syarat am permohonan ke IPT bagi lepasan STPM pula adalah seperti berikut:
- Terbuka kepada warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap yang mempunyai No. KP/My Kad sahaja.
- Bukan warganegara Malaysia boleh memohon terus ke IPT berkaitan.
Kriteria Pemilihan
Kriteria pemilihan yang akan dilihat bagi lepasan SPM yang memohon kemasukan ke IPT adalah seperti berikut:
- Pencapaian akademik dalam peperiksaan SPM dan pencapaian dalam aktiviti kokurikulum
- Tanggungan, pendapatan dan tempat tinggal (SES) (bagi permohonan ke Politeknik Konvensional / METrO, Kolej Komuniti dan ILKA)
- Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian dipohon
- Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan
- Memenuhi syarat khas seperti yang ditetapkan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA
- Lulus temu duga/ujian bagi program bertemu duga/ ujian
- Program pengajian pilihan pemohon mengikut keutamaan
- Bilangan tempat yang disediakan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA.
Bagi lepasan STPM pula, kriteria pemilihan kemasukan adalah seperti berikut:
- Pencapaian akademik dalam peperiksaan STPM/setaraf.
- Pencapaian dalam aktiviti kokurikulum.
- Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian yang dipohon.
- Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan.
- Memenuhi syarat khas seperti yang ditetapkan oleh UA.
- Telah mengambil MUET dengan mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1).
- Lulus temu duga dan/atau ujian bagi program bertemu duga dan/atau ujian.
- Program pengajian pilihan calon mengikut keutamaan.
- Bilangan tempat yang disediakan oleh UA.
Cara Login UPUOnline
Bgai lepasan SPM atau STPM yang ingin memohon kemasukan ke IPT, sila ikuti langkah-langlah berikut untuk login UPUOnline:
- Layari laman web UPUOnline iaitu https://upu.mohe.gov.my/.
- Klik bahagian ‘Daftar Akaun Baru.’mengisi semua maklumat pemohon dan maklumat keselamatan akaun.
- Setelah selesai, klik butang ‘Daftar’ untuk menyelesaikan proses pendaftaran.
- Login semula dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan yang didaftarkan.
- Setelah berjaya login, isi semua info permohonan yang diperlukan dan klik butang ‘Seterusnya.’
- Isi maklumat yang berikut untuk melengkapkan permohonan:
– Maklumat peribadi
– Maklumat keluarga
– Maklumat akademik
– Pilihan program
– Maklumat tambahan - Setelah selesai mengisi semua maklumat tersebut, buat pengesahan dengan menandakan pengakuan pada kotak yang disediakan.
- Klik butang ‘Sah & Hantar’ untuk menghantar permohonan.
- Cetak Slip Permohonan sebagai bukti permohonan telah dibuat.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai UPUOnline, sila layari laman web iaitu https://upu.mohe.gov.my/.