Permohonan LPSM JPA: Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelawa pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) 2021 yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara menerusi Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LPSM).

Menerusi LPSM, mereka akan ditawarkan penajaan untuk mengikuti pengajian peringkat
Persediaan hingga ke Ijazah Pertama di Universiti Awam (UA), Government Linked Universities (GLU) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam negara yang dikenalpasti, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Pemohon yang berminat boleh membuat permohonan mulai 20 Jun 2022 sehingga 26 Jun 2022.

Konsep Pembiayaan

Konsep pembiayaan yang ditawarkan adalah Pinjaman Boleh Ubah (PBU) dan tertakluk kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:

  • Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
  • Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Penajaan Mengikut Peringkat Pengajian

Penajaan di bawah Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) ini adalah secara berpakej merangkumi peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama.

Pemohon yang berjaya akan mengikuti program persediaan di kolej persediaan dalam negara yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Seterusnya, penajaan peringkat Ijazah Pertama adalah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara sahaja tertakluk kepada pelajar melepasi Had Kecemerlangan Akademik (HKA) di Peringkat Persediaan.

Sekiranya pelajar yang ditaja tidak menamatkan kursus persediaan atau menamatkan kursus persediaan tetapi gagal melepasi HKA yang ditetapkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, penajaan pelajar tersebut boleh ditamatkan.

Jika pelajar enggan meneruskan penajaan di peringkat Ijazah Pertama di bawah tajaan JPA atau enggan mematuhi syarat-syarat penajaan yang ditetapkan oleh JPA bagi menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, penajaan pelajar akan ditamatkan dengan tuntutan ganti rugi.

Bidang Pengajian Tidak Ditaja

Bidang pengajian yang tidak termasuk dalam penajaan ini adalah seperti berikut:

  • Pendidikan
  • Kejururawatan
  • Sijil Profesional untuk perlesenan seperti lesen penerbangan (Aircraft Maintenance License)
  • Kursus profesional seperti Certified Legal Practitioner (CLP) dan Chartered Accountancy (CA).

Syarat Umum

Syarat umum yang ditetapkan oleh pihak JPA kepada pemohon adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Mempunyai kesihatan yang baik.
  3. Ibu/bapa tidak disenarai hitamkan oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA.
  4. Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama.
  5. Menduduki peperiksaan SPM 2021 buat pertama kali.
  6. Umur belum mencapai 19 tahun (atau 20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki.
  7. Keutamaan diberikan kepada calon daripada latar belakang keluarga dengan kategori pendapatan B40 dan M40.

Syarat Khusus

Hanya 2 syarat khusus yang perlu dipenuhi pemohon iaitu:

  1. Pemohon hendaklah mendapat keputusan SPM sekurangkurangnya 9A+ dalam mana-mana mata pelajaran tanpa mengambil kira mata pelajaran selebihnya (sekiranya ada);
  2. Memulakan pengajian peringkat Persediaan sebelum 31 Disember tahun penawaran biasa.

Cara Memohon

Pemohonan boleh dibuat secara dalam talian (online) di pautan http://esilav2.jpa.gov.my/ bermula pada 20 Jun 2022 (Isnin) hingga 26 Jun 2022
(Ahad), jam 5.00 petang.

Pemohon adalah dibenarkan mendaftar, mengemas kini/meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan dan hanya pindaan yang terkini sahaja diambil kira untuk tujuan penyimpanan data.

Student Assessment Centre (SAC)

Pemohon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri Student Assessment Centre (SAC).

Tujuannya adalah bagi menyediakan profil interpersonal pelajar, menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA.

Program SAC dijadualkan pada 4 hingga 7 Julai 2022 mengikut zon pusat temuduga.

Keterangan & Pertanyaan Lanjut

Keterangan dan pertanyaan lanjut mengenai LPSM, sila hubungi talian 03-8885 3297 atau menghantar email ke [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *