MySG: Garis Panduan Tadbir Urus Sekolah KPM

Bagi memastikan tadbir urus sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beroperasi dengan baik, satu garis panduan iaitu Malaysian School Governance (MySG) telah diperkenalkan.

MySG adalah satu garis panduan pengurusan sekolah yang komprehensif dan sistematik bertujuan untuk mengatasi isu kekaburan peranan guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di sekolah serta menyeragamkan pengurusan sekolah berdasarkan program dan aktiviti dari bahagian-bahagian KPM yang perlu ada di semua sekolah.

Garis panduan ini telah disediakan secara bersama oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPM, Bahagian-bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK).

Menerusi Mesyuarat Profesional KPM Bil 11/2021 bertarikh 23 Mac 2021 telah bersetuju dan meluluskan penggunaan MySG sebagai rujukan rasmi pengurusan sekolah di bawah KPM.

Perkara Dalam MySG

Terdapat 4 perkara utama yang diperincikan di dalam garis panduan ini iaitu:

  • Maklumat Umum Pengurusan Sekolah
  • Perincian Tugas Portfolio Berjawatan dan Portfolio Tanpa Jawatan Sekolah
  • Perincian Tugas Jawatankuasa Sekolah
  • Jadual Pelaksanaan Pengurusan Sekolah

Maklumat Umum Pengurusan Sekolah

Maklumat umum pengurusan sekolah merujuk kepada jenis dan kategori sekolah yang wujud di dalam negara berdasarkan:

  • Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]
  • Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan Edisi Ke Empat, Cetakan Pertama 2017.

Di dalam bahagian ini, terdapat beberapa perkara diperincikan iaitu:

  • Komponen dan Subkomponen Pengurusan Sekolah Menengah KPM
  • Pelaksana Pengurusan Sekolah Menengah KPM
  • Kompleksiti Tugas Penjawat Awam Di Sekolah (PPP dan AKP)
  • Waktu Bekerja Penjawat Awam Di Sekolah (PPP dan AKP)
  • Carta Organisasi dan Carta Pelaksana Komponen Pengurusan Sekolah Menengah KPM

Perincian Tugas Portfolio

Perincian Tugas Portfolio Berjawatan dan Portfolio Tanpa Jawatan Sekolah adalah menerangkan senarai tugas atau perincian tugas bagi setiap Portfolio Berjawatan dan Portfolio Tanpa Jawatan yang diwujudkan di Sekolah Menengah KPM.

Portfolio Berjawatan di sekolah boleh dikategorikan kepada 4 kumpulan berdasarkan kluster kompetensi perjawatan iaitu:

  • Pengajaran dan Pentadbiran (PTA) PPP yang terlibat dalam pengajaran serta pentadbiran
  • Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) PPP yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran
  • Pengurusan dan Pentadbiran (PTB-GBK) PPP yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran
  • Pengurusan dan Pentadbiran (PTB-AKP) AKP yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran

Portfolio Tanpa Jawatan di sekolah boleh dikategorikan kepada 4 komponen berdasarkan bidang pengurusan sekolah iaitu:

  • Komponen Pengurusan dan Pentadbiran
  • Komponen Kurikulum
  • Komponen Hal Ehwal Murid
  • Komponen Kokurikulum

Perincian Tugas Jawatankuasa Sekolah

Perincian Tugas Jawatankuasa Sekolah adalah merujuk kepada senarai tugas atau perincian tugas bagi setiap jawatankuasa yang diwujudkan di Sekolah Rendah KPM.

Jawatankuasa di sekolah boleh dikategorikan kepada 4 kumpulan mengikut komponen pengurusan di sekolah iaitu:

  • Komponen Pengurusan dan Pentadbiran
  • Komponen Kurikulum
  • Komponen Hal Ehwal Murid
  • Komponen Kokurikulum Setiap komponen mempunyai jawatankuasa pengurusan utama dan beberapa jawatankuasa yang lain.

Selain itu, jawatankuasa pengurusan utama jawatankuasa yang mesti diwujudkan di semua sekolah (termasuk Sekolah Kurang Murid) seperti berikut:

  • Jawatankuasa Pengurusan Sekolah
  • Jawatankuasa Pengurusan Kurikulum
  • Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Murid
  • Jawatankuasa Pengurusan Kokurikulum

Jadual Pelaksanaan Pengurusan Sekolah

Jadual Pelaksanaan Pengurusan Sekolah memperincikan perkara berikut:

  • Komponen dan Subkomponen Pengurusan Sekolah iaitu pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum
  • Pelaksana Pengurusan Sekolah yang terdiri daripada Portfolio Berjawatan, Portfolio Tanpa Jawatan dan Jawatankuasa
  • Punca kuasa dan garis panduan sedia ada berkaitan Pengurusan Sekolah yang terdiri daripada surat pekeliling, surat siaran atau rujukan lain seperti buku garis panduan yang diterbitkan KPM
  • Bahagian-bahagian KPM yang menjadi peneraju dan bertanggungjawab terhadap dasar dan pengoperasian Komponen dan Subkomponen Pengurusan Sekolah

Muat Turun Dokumen

Dokumen MySG Sekolah Rendah

Dokumen MySG Sekolah Menengah

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai MySG, layari laman web https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: