mySIKAP JPJ: Perbaharui Lesen & Roadtax Secara Online

Orang ramai boleh memperbaharui lesen memandu dan roadtax, mereka boleh melakukannya secara atas talian melalui Portal MySIKAP daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Portal mySIKAP merupakan sistem dalam talian yang merangkumi perkhidmatan JPJ.

Kewujudan portal ini adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ secara atas talian tanpa perlu berkunjung ke mana-mana pejabat JPJ untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Perkhidmatan Yang Ditwarkan

Portal ini menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan berikut:

  • Kenderaan: Melihat dan menguruskan transaksi kenderaan seperti memperbaharui dan membatalkan lesen kenderaan motor (LKM), memohon atau membatalkan kenderaan anda sementara waktu, pindah milik sukarela, membatalkan pendaftaran kenderaan  untuk berpindah ke negara lain serta kemaskini atau memohon untuk memperolehi pek maklumat kenderaan.
  • Lesen Memandu: Pembaharuan lesen boleh dilaksanakan di portal mySIKAP serta permohonan lain seperti permit memandu antarabangsa, rayuan bagi lesen memandu tamat tempoh, penukaran lesen dari asing/tentera atau anggota polis kepada lesen memandu Malaysia, kemaskini alamat dan penambahan kelas atau permintaan untuk maklumat lesen memandu penuh.
  • Kesalahan dan Penalti: Semakan boleh dilakukan bagi saman/notis serta penalti kenderaan anda dan seterusnya pembayaran atas talian. Selain itu, semakan-semakan lain yang boleh dilakukan adalah status kenderaan (senarai hitam atau dirampas), mata KEJARA dan tempoh penggantungan lesen.
  • Pengurusan Profil: Pengemaskinian butir-butir peribadi dan menukar kata laluan.
  • Perkhidmatan Lain: Permohonan pendaftaran kereta klasik dan vintaj, kemalangan dan kelulusan membaiki serta rayuan jika gagal pemeriksaan puspakom.

Syarat Mendaftar

Untuk mendaftar ke portal ini, orang ramai perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Orang awam Malaysia yang mempunyai MyKad yang sah atau
  2. Penduduk tetap Malaysia yang mempunyai MyPR yang sah; atau
  3. Pemegang paspot yang belum tamat tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh pendaftaran ID mySIKAP.
  4. Berumur sekurang-kurangnya 16 tahun.
  5. Mempunyai sekurang-kurangnya satu rekod dengan JPJ.

Cara Mendaftar

Untuk mendaftar, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Klik di pautan https://public.jpj.gov.my/.
  2. Klik ‘Log Masuk’ di bahagian ‘Daftar/Log Masuk Kali Pertama (MyKad).’
  3. Lengkapkan maklumat yang diperlukan.
  4. Isi kod sekuriti dan klik ‘Teruskan.’
  5. Sahkan maklumat tersebut dan klik ‘Teruskan.’
  6. ID pengguna dan kata laluan sementara dihantar ke email.
  7. Log masuk menggunakan ID pengguna dan kata laluan tersebut.

Maklumat Lanjut

Info lanjut mengenai mySIKAP ini, sila layari laman web https://public.jpj.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: