Niat Puasa Ramadan Harian / Sebulan – JAKIM

Untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, umat Islam perlu memastikan mereka melakukan niat puasa Ramadhan untuk melalukan ibadah tersebut.

Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib dan tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu.

Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. 

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T menyebut, “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”(Al-Bayyinah: 5).

Nabi Muhammad S.A.W juga menyebut “Hanyasanya perbuatan-perbuatan itu dengan niat” (Riwayat Al-Bukhari).

Maksud Puasa

Dari segi bahasa, puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap.

Dari segi syara’ pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Dalil pensyariatan puasa adalah daripada firman Allah S.W.T iaitu “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah: 183).

Syarat Niat

Untuk berniat bagi berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ianya dinamakan dengan berniat.

Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan atau kriteria dalam berniat ketika berpuasa antaranya ialah:

  1. Al-Jazm (الجزم): Benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
  2. Al-Ta’yiin (التعيين): Penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dan lain-lain). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
  3. Al-Tabyiit (التبييت): Menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.

Pandangan Niat Puasa Harian / Sebulan Di Bulan Ramadan

Timbul persoalan adakah perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau berpada dengan niat 30 hari sekaligus dipermulaan niat?

Ulama’ telah terbahagi kepada 2 pendapat di dalam permasalahan ini:

  • Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat. Ianya sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.
  • Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam. Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Niat Puasa Harian/Sebulan

Niat puasa harian/sebulan boleh dirujuk melalui di bawah:

Sumber: https://muftiwp.gov.my/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: