Pemasangan Lokar Sekolah Rendah Bermula Akhir September 2022

Untuk makluman, proses pemasangan lokar di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara dijangka dimulakan pada akhir September 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan untuk permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di sekolah 2 sesi, membabitkan murid Tahap 1.

Pemasangan lokar ini adalah salah satu daripada 7 inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangani isu beg berat sekolah.

Inisiatif Menangani Isu Beg Sekolah

Sebelum ini, KPM telah mengumumkan 7 inisiatif KPM bagi menangani isu beg sekolah iaitu:

  • Menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa.
  • Melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari.
  • Bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu satu masa.
  • Murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).
  • Penerbitan baharu buku teks dalam format digital dilaksanakan secara berterusan
  • Menggalakkan guru menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.
  • Mewujudkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.

Fasa Pemasangan Lokar

Pemasangan lokar di sekolah rendah di seluruh negara ini akan dilaksanakan kepada 2 fasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2.

Fasa 1 akan dilaksanakan di sekolah yang mempunyai dua sesi melibatkan Tahap 1 terlebih dahulu iaitu untuk pelajar Tahun 1 dan 2.

Untuk Fasa 1, sebanyak 10,662 kelas di sekolah rendah akan dipasang lokar yang melibatkan seramai 323,186 murid dengan peruntukan bagi Fasa 1 dijadualkan bermula 2022 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.

Fasa 2 akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/09/pemasangan-lokar-sekolah-mula-akhir-september/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: