Cara Mudah Buat Penamaan Waris Akaun SSPN

Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) adalah digalakkan untuk membuat penamaan waris bagi memudahkan urusan waris setelah kematian pendeposit kelak.

Tujuan penama ini dilakukan adalah untuk memudahkan urusan pengeluaran simpanan Simpan SSPN oleh waris bagi membolehkan mereka tidak perlu mengemukakan surat kuasa bagi membuktikan kelayakan untuk menuntut simpanan Simpan SSPN pendeposit.

Objektif secara spesifik penamaan waris ini perlu dilakukan adalah:

  • Memudahkan urusan pengeluaran simpanan Simpan SSPN Prime dan/ atau Simpan SSPN Plus apabila berlakunya kematian pendeposit.
  • Membolehkan pihak PTPTN melepaskan simpanan Simpan SSPN Prime dan/atau Simpan SSPN Plus ke atas akaun pendeposit yang telah meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk mentadbir (bagi orang yang beragama Islam) atau menerima (bagi orang yang bukan beragama Islam) dengan segera tanpa perlu mengemukakan Geran Probet/Surat Kuasa Mentadbir/ Perintah Pembahagian.
  • Menjimatkan kos dan masa semasa proses tuntutan dibuat.

Syarat Penamaan Waris

Syarat untuk membuat penamaan waris terhadap akaun simpanan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Pendeposit boleh membuat penamaan sebaik sahaja membuka akaun simpanan PTPTN.
  2. Pendeposit boleh menamakan sesiapa sahaja untuk menjadi penama dengan syarat-syarat berikut:
    – Penama hendaklah warganegara Malaysia.
    – Tiada had umur.
    – Penamaan adalah terhad kepada 2 orang sahaja pada satu masa. Jika pendeposit berhasrat untuk menukar penama, pendeposit boleh berbuat demikian dengan mengisi borang penamaan baharu atau apa-apa kaedah yang ditentukan oleh PTPTN. Penamaan baharu akan membatalkan penamaan terdahulu.
  3. Pendeposit hendaklah membuat penamaan untuk setiap akaun secara berasingan.
  4. Butiran penamaan adalah sulit. Pendeposit dinasihatkan untuk tidak mendedahkan maklumat penamaan kepada orang lain selain daripada penama.

Cara Membuat Penamaan

Untuk membuat penamaan waris ini, sila ikuti langkah mudah ini iaitu:

  1. Permohonan penamaan boleh dibuat dengan mengisi borang penamaan di kaunter PTPTN atau memuat turun borang penamaan daripada Portal PTPTN.
  2. Pendeposit hendaklah hadir sendiri ke kaunter dengan membawa bersama Kad Pengenalan untuk pengesahan. Permohonan melalui wakil atau secara pos adalah tidak dibenarkan.
  3. Pendeposit hendaklah memastikan maklumat penama adalah yang terkini dan memaklumkan kepada PTPTN sekiranya ada perubahan.

Pembatalan Penamaan Waris

Penamaan waris akan terbatal sekiranya:

  1. Penama meninggal dunia.
  2. Pendeposit memohon pembatalan penamaan dengan hadir sendiri ke kaunter PTPTN.
  3. Melalui apa-apa penamaan yang dibuat terkemudian oleh pendeposit; atau
  4. Pendeposit telah menutup akaun simpanan.

Oleh sebab itu, pendeposit hendaklah membuat penamaan semula jika membuka akaun simpanan baharu.

Maklumat Lanjut

Maklumat panjut mengenai penamaan waris SSPN ini, sila layari laman web https://www.ptptn.gov.my/simpan-sspn/simpan-sspn-prime/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: