Penanda Wacana: Maksud, Fungsi, & Contoh Penggunaannya

Penanda wacana ialah perkataan yang berfungsi untuk menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang sama ada melalui tulisan ataupun ucapan.

Tujuan utama penanda wacana digunakan bagi mewujudkan rangkai kata antara sebahagian teks dengan yang lain.

Selain itu, penanda wacana digunakan sama ada dalam perenggan yang sama atau perenggan baru supaya ayat lebuh teratur dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.

Fungsi Penanda Wacana

Terdapat 4 fungsi penanda wacana di dalam tatabahasa iaitu:

  • Penghubung tambahan.
  • Penghubung tentangan atau sebaliknya.
  • Penghubung musabab atau sebab.
  • Penghubung tempoh masa atau ketika.

Penghubung Tambahan

Penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan lain-lain lagi.

Contoh-contoh ayat yang digunakan adalah seperti:

  • “Jasmin pulang lewat dari syarikatnya. Lebih-lebih lagi, beliau baru dinaikkan pangkat.”
  • “Hafiz mengusahakan kedai makan. Di samping itu, dia juga mengusahakan kebun tanaman.”

Penghubung Sebaliknya Atau Tentangan

Penanda wacana bagi tujuan penghubung sebaliknya atau tentangan seperti tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu, walau bagaimanapun dan lain-lain lagi. 

Contoh ayat yang digunakan adalah seperti berikut:

  • “Johar telah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Namun hati kecilnya masih teringat akan kampung halamannya di pantai timur.”
  • “Jawahir merupakan anak angkat Pak Kaduk yang telah dipelihara sejak kecil lagi. Walau bagaimanapun, Pak Kaduk telah dianggap seperti bapa kandungnya mereka sendiri.”

Penghubung Sebab Atau Musabab

Penanda wacana menunjukkan sebab atau musabab adalah seperti kerana, oleh sebab itu, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, maka itu dan lain-lain lagi.

Antara contoh ayat yang sering digunakan adalah seperti:

  • “Kejadian pecah rumah sering berlaku di kawasan taman perumahan. Oleh hal demikian, pihak Polis telah mengarahkan ahli Rukun Tetangga menjalankan kerja-kerja rondaan dengan lebih kerap.”
  • “Keadaan hidup keluarga Dali amat daif. Maka, dia terpaksa bekerja lebih keras untuk membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan.”

Penghubung Ketika Atau Masa

Penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya.

Contoh ayat yang digunakan bagi penghubung ketika atau masa adalah seperti berikut:

  • Saya tidak dapat hadir ke kelas atas dua sebab utama. Pertama, ibu saya sakit. Kedua, hujan turun dengan lebat ketika itu.
  • Sebaik sahaja rombongan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kami dibawa ke balai menunggu. Sejurus selepas itu, kami diberi taklimat ringkas oleh ketua rombongan.

Info Lanjut

Untuk info lanjut, sila tontoh video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=BHsu8p5IDZE

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: