Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Akibat Banjir 3 Bulan

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terjejas akibat bencana banjir boleh membuat penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama 3 bulan.

Penangguhan ini ditawarkan selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara.

Tawaran penangguhan ini dibuat bagi menjaga kebajikan peminjam yang diuji dengan musibah banjir yang melanda di beberapa buah negeri baru-baru ini.

Peminjam boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN ini mulai 28 Disember 2021 sehingga 31 Mac 2022.

Tempoh Penangguhan Bayaran Balik

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh 3 bulan.

Ini bermakna pengguhan bayaran balik bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN dan 2 bulan ke hadapan di antara Disember 2021 hingga Mei 2022.

Tempoh Kelulusan Permohonan

Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui email dalam tempoh 3 hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

Oleh itu, peminjam adalah diingatkan agar mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan tersebut dapat sampai kepada mereka.

Cara Permohonan

Untuk membuat permohonan, peminjam boleh membuat permohonan melalui dua saluran iaitu:

  1. Membuat permohonan secara atas talian menerusi pautan portal rasmi PTPTN di (www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalikBanjir).
  2. Hadir ke mana-mana Cawangan PTPTN yang berhampiran untuk membuat permohonan.

Permohonan ini tidak melibatkan sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat banjir selama 3 bulan, sila hubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 atau melayari laman web https://www.ptptn.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: