Perincian Pendekatan KPM Bagi Menangani Isu Beg Berat Murid

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat pendekatan bagi menangani isu beg berat murid, khususnya murid Tahap 1 di sekolah rendah.

Sebelum ini, KPM telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan beg berat iaitu Kajian Beban Buku Murid Sekolah Rendah (1994), Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017).

Namun, perkara tersebut masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat terutamanya para ibu bapa.

Bagi mengatasi masalah ini, KPM telah membuat ketetapan bagi segera menyelesaikan masalah ini seperti berikut:

Penyediaan Lokar

KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2.

Fasa 1 akan dilaksanakan pada tahun 2022 yang melibatkan penyediaan lokar bagi murid Tahap 1, iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Pelaksanaan Fasa 1 ini akan melibatkan sebanyak 10,662 kelas dengan 323,186 orang murid dengan anggaran peruntukan sebanyak RM37.3 juta.

Untuk Fasa 2 pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dan pelaksanaan perkara ini dijangka dilaksanakan pada tahun 2023.

Bagi sekolah satu sesi pula, murid-murid dibenarkan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

Penyusunan Semula Jadual Waktu

Penyusunan semula jadual waktu akan dilaksanakan yang mengandungi 3 hingga 4 mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Sekolah juga akan akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah bawah KPM.

Buku Latihan

Bilangan buku latihan yang disediakan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu satu masa.

Setiap buku latihan tersebut hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

Buku Aktiviti & Buku Kerja

Murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM ketika dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Buku kerja pula hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu PdP.

Buku Teks Digital

Para guru dan murid digalakkan menggunakan buku teks digital yang boleh didapati melalui platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa)

Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam DELIMa dan murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui platform tersebut.

Pendekatan PdP

Para guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

Kerjasama Dengan JAKIM

Pihak KPM akan mengadakan kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam
Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.

Info Lanjut

Untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pendekatan bagi menangani isu beg berat murid, sila layari laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: