Cara Mohon Pengecualian Bayaran Balik PTPTN Kelas Pertama
Sebelum ini, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan insentif pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Insentif ini diumumkan sebagai dorongan kepada semua peminjam untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.
Untuk makluman, insentif pengecualian bayaran balik pinjaman kepada peminjam PTPTN telah dilaksanakan sejak tahun 2001 dan diberikan kepada semua peminjam di Universiti Awam (UA), Politeknik dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang menamatkan pengajian dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya tanpa mengira kaum dan latar belakang kewangan peminjam.
Namun, insentif ini telah dihadkan kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40 sahaja manakala kumpulan T20 tidak dipertimbangkan dan dilaksanakan kepada peminjam yang menamatkan pengajian mulai 1 Januari 2019.
Tarikh Permohonan
Tempoh permohonan untuk memohon insentif ini boleh dibuat mulai 15 September 2022 hingga 31 Disember 2022.
Selepas tempoh tersebut, permohonan tidak akan diterima kecuali permohonan yang dikemukakan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh konvokesyen.
Syarat Permohonan
Syarat-syarat untuk memohon insentif ini adalah seperti berikut:
- Mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda secara Sepenuh Masa.
- Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama oleh IPT.
- Menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan mengikut dokumen tawaran pinjaman PTPTN.
- Pinjaman pendidikan PTPTN tidak bertindih dengan sebarang penajaan lain.
- Kursus/Program yang diikuti oleh peminjam di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) hendaklah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam tempoh pinjaman dikeluarkan.
- Mengemukakan permohonan di dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh konvokesyen.
Tatacara Permohonan
Tatacara permohonan insentif ini boleh dirujuk melalui langkah-langkah di bawah:
- Layari laman web https://www.ptptn.gov.my/kelaspertamaonline/Utama.
- Log masuk menggunakan No.Kad Pengenalan dan No. Pinjaman Peminjam.
- Klik butang “Mohon.”
- Kemaskini semua maklumat yang diperlukan.
- Muat naik dokumen sokongan.
- Buat pengesahan dan klik butang “Hantar.”
Dokumen Sokongan
Dokumen sokongan yang perlu dimuat naik adalah seperti berikut:
- Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang disahkan (Skrol).
- Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan.
- Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (Bagi peminjam IPTS).
- Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan “Kelas Pertama” pada Ijazah).
- Surat pengesahan tamat pengajian (jika tidak dicatatkan tarikh tamat pengajian pada ijazah/transkrip).
Salinan dokumen sokongan hendaklah disahkan oleh pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bahagian Akademik atau Bahagian Pengurusan Rekod yang mengeluarkan Ijazah di IPT) dengan cop pengesahan mengandungi Nama Pegawai, Jawatan dan Nama Jabatan.
Pertanyaan Lanjut
Pertanyaan lanjut mengenai pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN, sila hubungi talian 03–2193 3000.