Cara Pengeluaran Akaun 2 KWSP Untuk Pendidikan

Tahukah anda, Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan untuk tujuan membiayai pendidikan?

Untuk makluman, ahli KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 bagi membantu membiayai pendidikan sendiri, pasangan (suami/isteri), anak-anak dan/atau ibu bapa di institusi dalam dan luar negara yang diluluskan.

Jumlah di dalam akaun tersebut yang boleh dikeluarkan adalah jumlah yuran pengajian/baki pinjaman pendidikan atau kesemua simpanan dalam Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah).

Kos Yang Dibiayai

Kos yang dibiayai untuk pengeluaran ini adalah seperti berikut:

  • Yuran pengajian dan caj yang dikenakan oleh institusi pengajian atau jumlah baki pinjaman (bagi pengajian peringkat Sijil Tahap 3, amaun pengeluaran yang layak dikeluarkan hanya untuk yuran pengajian sahaja tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam akaun 2).
  • Yuran hostel dan penginapan.
  • Penerbangan sehala untuk pelajar tahun pertama yang belajar di luar kawasan/luar negara.

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan untuk memohon pengeluaran ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia dan bukan warganegara.
  2. Berumur 55 tahun ke bawah.
  3. Mempunyai simpanan dalam Akaun 2.
  4. Sedang belajar di institusi dalam negara (sepenuh masa, separuh masa, program jarak jauh dan francais) atau institusi luar negara (program sepenuh masa).
  5. Masih meneruskan atau telah menamatkan pengajian peringkat Sijil Tahap 3, diploma dan ke atas (akademik/profesional/berasaskan kemahiran/vokasional).
  6. Dibenarkan untuk ahli/anak/pasangan/ibu bapa ahli yang berhenti/gagal/tidak tamat/tarik diri daripada pengajian (untuk menyelesaikan kesemua bayaran tunggakan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam tempoh 3 tahun dari penamatan pengajian; dan menyelesaikan baki pinjaman pendidikan dengan Institusi Pemberi Pinjaman (IPP).

Tatacara Permohonan

Untuk membuat permohonan pengeluaran ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://secure.kwsp.gov.my/member/member/login.
  2. Login i-Akaun tersebut.
  3. Klik menu ‘Pengeluaran.’
  4. Klik butang ‘Permohonan Baru.’
  5. Pilih ‘Pendidikan’ dalam jenis pengeluaran dan lengkapkan maklumat seterusnya.
  6. Buat pengesahan pengeluaran.
  7. Anda akan mendapat SMS pengesahan permohonan.
  8. Sila pergi ke pejabat KWSP berhampiran dan bawa bersama dokumen yang diperlukan.

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen yang diperlukan untuk dibawa adalah seperti berikut:

  1. Mykad atau dokumen pengenalan diri asal.
  2. Surat pengesahan pendaftaran pelajar
  3. Resit bayaran yuran pengajian yang dikeluarkan oleh IPT.
  4. Bayaran Balik Tiket Penerbangan (kelayakan penerbangan sehala bagi pelajar IPT dalam/luar negara semasa mendaftar untuk memulakan pengajian pada tahun pertama sahaja).
  5. Surat kelulusan pengiktirafan kursus pengajian.
  6. Borang KWSP 3 (Pindaan) – untuk penghantaran melalui pos/pengesahan cop ibu jari gagal.
  7. Dokumen bukti pertalian antara pemohon dan pelajar (sekiranya pemohon bukan pelajar).

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai pengeluaran akaun 2 KWSP untuk pendidikan, sila layari laman web https://www.kwsp.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: