Pengoperasian Institusi Pendidikan KPM Bermula 1 Mei 2022

Menteri Pendidikan, YB Senator Dr Radzi Jidin telah mengumumkan beberapa ketetapan baharu mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 1 Mei 2022.

Pengumuman pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM ini dibuat selepas negara beralih kepada fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan beberapa kelonggaran SOP diumumkan.

Secara umumnya sesi persekolahan selepas 1 Mei 2022 kembali beroperasi sebagaimana sebelum pandemik COVID-19 melanda negara 2 tahun lalu.

Imbasan Kod QR MySejahtera

Imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis institusi pendidikan.

Pelitup Muka

Pelitup muka diwajibkan ketika berada di ruangan tertutup premis sekolah.

Kelonggaran tidak memakai pelitup muka diberikan sekiranya:

  • Bersendirian
  • Semasa mengajar di hadapan kelas.
  • Semasa aktiviti sukan dan rekreasi termasuk aktiviti pendidikan jasmani.
  • Kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke bawah.
  • Individu berkeperluan khas.
  • Individu yang mempunyai masalah pernafasan (perlu mengemukakan laporan perubatan)

Pemakaian pelitup muka digalakkan jika:

  • Berada di luar bangunan dan kawasan terbuka di dalam premis sekolah.
  • Sedang melakukan aktiviti secara berkumpulan.

Penjarakan Fizikal

Tiada lagi penjarakan fizikal di dalam kawasan institusi pendidikan.

Namun, penjarakan fizikal digalakkan di dalam kawasan institusi pendidikan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka.

Ujian Kendiri COVID-19

Ujian kendiri COVID-19 di institusi pendidikan akan dijalankan jika bergejala sahaja.

Pengurusan Murid Bergejala & Positif COVID-19

Jika terdapat murid yang bergejala atau positif COVID-19, mereka perlu diasingkan di bilik isolasi.

Murid terbabit perlu melakukan ujian kendiri dan jika keputusan negatif, mereka boleh mengikuti pembelajaran tetapi perlu memakai pelitup muka namun jika keputusan positif, guru perlu menghubungi ibu bapa untuk mereka menjemput anak mereka di institusi pendidikan terbabit.

Kehadiran Ke Institusi Pendidikan

Kehadiran guru dan murid ke institusi pendidikan adalah diwajibkan.

Jika bergejala, mereka perlu melakukan ujian kendiri COVID-19 dan jika keputusan negatif, mereka perlu hadir dan memakai pelitup muka sepanjang masa.

Jika keputusan positif, mereka tidak perlu hadir ke sekolah dan menunjukkan bukti HSO kepada pentadbir.

Makan Di Kantin/Kafeteria

Guru, murid, dan seluruh warga institusi pendidikan dibenarkan makan di kantin/kafeteria.

Pelaksanaan rehat berperingkat boleh dilaksanakan sekiranya perlu.

Aktiviti Sukan & Kokurikulum

Semua aktiviti sukan dan kokurikulum termasuk penganjuran pertandingan/kejohanan di dalam/luar kawasan sekolah dibenarkan.

Murid/guru/jurulatih/pengajar yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum.

Pengurusan Surau/Masjid

Untuk solat di surau/masjid dalam institusi pendidikan, kebenaran solat diberikan tanpa penjarakan fizikal mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Jemaah luar juga dibenarkan solat Jumaat dalam kawasan institusi pendidikan.

Selain itu, murid asrama dibenarkan menunaikan solat Jumaat di luar kawasan institusi pendidikan.

Kebenaran Masuk Institusi Pendidikan

PIBG, PIBKS dan LPS dibenarkan memasuki premis pendidikan untuk melaksanakan mesyuarat/program/aktiviti yang dirancang bersama-sama pihak sekolah.

Pihak luar termasuk orang kenamaan juga dibenarkan memasuki premis institusi pendidikan, tertakluk kepada pekeliling yang berkuat kuasa.

Pengurusan Asrama

Hanya murid yang sihat dan tidak bergejala sahaja dibenarkan kembali ke asrama dalam institusi pendidikan.

Murid yang bergejala semasa pendaftaran masuk/berada di asrama dikehendaki melaksanakan ujian kendiri COVID-19.

Jika negatif, murid perlu memakai pelitup muka sepanjang masa di institusi pendidikan namun jika positif, mereka perlu menjalani pengasingan di bilik isolasi asrama atau dibawa pulang oleh ibu bapa.

Aktiviti riadah bagi murid yang tinggal di asrama dibenarkan.

Ibu bapa juga dibenarkan untuk melawat anak mereka di asrama.

Aktiviti outing dan pulang bermalam bagi pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan.

Pakaian Seragam Sekolah

Pemakaian pakaian seragam sekolah adalah digalakkan namun murid diwajibkan untuk memakai pakaian seragam bermula sesi persekolahan penggal 2 pada 12 Jun 2022.

Sumber: Facebook Dr. Radzi Jidin https://www.facebook.com/DrRadziJidin.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: