Pengoperasian Institusi Pendidikan KPM Penggal 1 Sesi 2022/2023

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan perincian mengenai pengoperasian institusi pendidikan KPM bagi kalendar akademik penggal 1 sesi 2022/2023.

Untuk makluman, penggal 1 sesi 2022/2023 untuk semua sekolah di seluruh negara akan bermula 21 Mac 2022.

Perincian ini dibuat bagi melicinkan pengoperasian institusi pendidikan KPM dan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Sekolah Rendah Lebih 600 Murid

Bagi sekolah rendah yang mempunyai lebih 600 murid, proses pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan secara bersemuka tanpa penggiliran iaitu:

  • Murid Bekeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
  • Prasekolah
  • Tahun 1
  • Tahun 2
  • Tahun 6
  • Murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

Selain daripada murid-murid berikut, proses pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan secara penggiliran:

  • Tahun 3
  • Tahun 4
  • Tahun 5

Pelaksanaan ketetapan ini juga terpakai kepada murid sekolah swasta, sekolah ekspatriat, dan sekolah antarabangsa.

Sekolah Rendah Kurang 600 Murid

Sekolah rendah harian dan swasta, ekspatriat, dan sekolah antarabangsa yang mempunyai kurang daripada 600 murid akan beroperasi secara bersemuka tanpa penggiliran.

Sekolah Menengah

Murid di sekolah menengah akan menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah untuk tempoh 2 minggu mulai 21 Mac 2022.

Semua murid di sekolah menengah akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran bermula 4 April 2022.

Sekolah Berasrama Sepenuhnya

Murid di sekolah berasrama sepenuhnya akan menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah untuk tempoh 2 minggu mulai 21 Mac 2022 dan akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran bermula 4 April 2022 iaitu:

  • Tingkatan 2
  • Tingkatan 3
  • Tingkatan 4
  • Tingkatan 5
  • Tingkatan 6
  • Prauniversiti
  • International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP)
  • Kelas peperiksaan antarabangsa yang setara di sekolah berasrama

Untuk murid Tingtakan 1 yang memasuki sekolah berasrama sepenuhnya, pendaftaran akan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya.

Mereka boleh memilih sama ada menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah atau menumpang di sekolah harian berhampiran sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama diumumkan.

Sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti menguruskan keseluruhan murid boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan 1.

Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi, & IPG

Pelajar di Kolej Vokasional dan Institut Pengajian Guru, pengoperasian akan diteruskan secara bersemuka tanpa penggiliran mengikut takwim pengajian akademik yang ditetapkan.

Bagi pengoperasian Kolej Matrikulasi, pelajar dibenarkan pulang pada cuti pertengahan semester dan cuti perayaan serta kembali ke kolej secara berperingkat.

Mereka akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di kolej dan bagi yang masih di rumah akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Hanya mereka yang telah menerima vaksin lengkap (dua dos) sahaja dibenarkan kembali ke kolej selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0.

Pakaian Seragam & Kehadiran Ke Sekolah

Murid yang hadir ke sekolah digalakkan untuk memakai pakaian seragam sekolah namun mereka dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam sekolah sedia ada tidak lagi sesuai dipakai.

Untuk kehadiran ke sekolah, jika ibu bapa/penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin namun mereka perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.

Ujian Saringan COVID-19

Ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa/penjaga dan mengikut garis panduan yang disediakan KPM.

Pihak sekolah mengenal pasti murid yang terlibat dan keputusan ujian saringan perlu
dilaporkan kepada pihak sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi pendidikan KPM penggal 1 sesi 2022/2023, sila layari laman web rasmi KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: