Rayuan Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia

Pelajar yang ditolak permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia mereka boleh mengemukakan rayuan untuk mendapatkan peranti tersebut.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, setakat ini 40,000 permohonan telah ditolak daripada jumlah keseluruhan permohonan iaitu lebih 470,000 orang.

Untuk makluman, kerajaan mewujudkan bantuan ini secara percuma kepada mahasiswa yang layak agar mereka dapat menggunakannya untuk tujuan pembelajaran sehingga tamat pengajian.

Penerima Inisiatif

Inisiatif ini akan melibatkan pelajar yang menyambung pengajian di tingkatan 6, IPTA, IPTS, kolej komuniti, dan kolej di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Peringkat pengajian yang layak menerima inisiatif ini adalah sama ada:

  • Tingkatan 6
  • Pelajar Diploma
  • Pelajar Diploma Lanjutan
  • Pelajar Ijazah Sarjana Muda
  • Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG)
  • Pelajar kolej matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Terma & Syarat

Terma dan syarat bagi pelaksanaan inisiatif ini adalah seperti berikut:

  1. Pemberian satu (1) unit peranti adalah untuk pemohon yang memenuhi syarat-syarat umum kelayakan PerantiSiswa seperti berikut:
    – Warganegara Malaysia.
    – Daripada kategori keluarga B40 iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah.
    – Sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan atau Ijazah Sarjana Muda.
    – Bukan pelajar tahun akhir pada tahun 2022.
    – Mengikuti pengajian secara sepenuh masa.
    – Tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan.
  2. Inisiatif ini hanya melibatkan pemberian peranti tanpa pelan data Internet.
  3. Peranti akan diberikan secara Kaedah Guna Pakai (KGP) kepada mahasiswa dan perlu diserahkan semula mengikut kaedah yang ditetapkan setelah tamat pengajian atau dalam tempoh yang ditentukan oleh Pentadbir Program.
  4. Peranti perlu dipulangkan apabila mahasiswa tersebut:
    – Menamatkan pengajian.
    – Berhenti pengajian.
    – Dibuang pengajian.
    – Menyalahgunakan peranti yang dibekalkan sehingga mendatangkan kemudaratan atau menyalahi undang-undang negara.
    – Melanggar apa-apa syarat yang ditentukan oleh Pentadbir Program dari semasa ke semasa.
  5. Penerima peranti perlu melaporkan kerosakan, kehilangan atau kecurian tablet tersebut melalui kaedah pelaporan yang akan ditentukan kelak untuk tindakan lanjut oleh Pentadbir Program.
  6. Pentadbir Program atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Pentadbir Program berhak untuk mengarahkan penerima peranti untuk menyerahkan tablet tersebut untuk diperiksa pada bila-bila masa.
  7. Penerima peranti adalah bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan peranti yang diterima.
  8. Penerima peranti juga perlu memastikan peranti yang diterima tidak diconteng, ditulis atau dibuat sebarang jenis perlakuan yang boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan kepada peranti tersebut.
  9. Penerima peranti perlulah mematuhi peraturan/polisi keselamatan siber IPT atau agensi-agensi kerajaan yang berkuatkuasa.
  10. Peranti hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk pembelajaran kendiri dan tidak digunakan untuk mengakses laman sesawang yang menyalahi undang-undang negara.
  11. Penerima peranti yang melanggar apa-apa syarat atau menyebabkan sesuatu kehilangan atau kerosakan ke atas peranti disebabkan kecuaian boleh dikenakan penalti yang akan ditetapkan oleh Pentadbir Program.
  12. Penerima peranti adalah tertakluk kepada terma dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

Tatacara Rayuan

Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan rayuan boleh dibuat secara bertulis atau berjumpa terus dengan pemimpin tempatan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar di IPT masing-masing.

Setakat ini, tiada permohonan rayuan secara atas talian disediakan untuk urusan rayuan ini.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia, sila layari laman web KKMM iaitu https://www.kkmm.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: