Perutusan Hari Guru 2024 Menteri Pendidikan
Sempena Hari Guru, YB Menteri Pendidikan telah mengeluarkan perutusan Hari Guru 2024 khusus sempena sambutan hari tersebut.
Sambutan Hari Guru merupakan hari yang ditunggu-tunggu terutamanya oleh murid dan guru di seluruh negara.
Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun bagi menghargai jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik individu sehingga berjaya.
Tema Hari Guru 2024
Untuk hari gur pada tahun ini, tema yang dipilih adalah “GURU JAUHARI DIGITAL, ASPIRASI NEGARA MADANI.”
Tema ini dipilih dan diumumkan oleh KPM pada 9 Mac 2024 selepas cadangan mengenai tema ini dibuka pada tahun lalu.
Perutusan Hari Guru Menteri Pendidikan
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Malaysia MADANI
PENDAHULUAN
Ke hadapan para guru yang dicintai dan dihargai,
- Mewakili seluruh jajaran kepimpinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), saya dengan suci hati dan tulus ikhlas, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pendidik yang telah menabur khidmat bakti di seluruh pelosok tanah air. Selamat Hari Guru!
- Cabaran sebagai seorang pendidik pastinya tidak semudah yang disangka. Tugasnya berat, bebanannya besar. Itulah amanah yang dipikul di atas jemala para guru. Guru
merupakan suatu profesion yang paling dipercayai zaman berzaman. Sejak zaman bahari, hingga era teknologi, guru menjadi tonggak masyarakat dan pelaku pembangunan peradaban bangsa. - Hatta, seorang guru yang baik dan berjasa tidak mungkin dilupakan masyarakatnya. Natijahnya, guru-guru dalam masyarakat kita sering kali dijadikan rujukan oleh
penduduk. Dipanggil pula dengan panggilan “Cikgu”. - Sekali bergelar guru, sampai hujung nyawa dipanggil Cikgu. Berbicara tentang guru umpama kita berbicara tentang ibu bapa kita. Sering kali perasaan terharu dan sebak datang menusuk kalbu saat bercakap perihal guru.
- Saya berkesempatan mengadakan kunjungan dan lawatan ke banyak institusi pendidikan dan sekolah sama ada yang terletak di bandar, pinggir bandar, luar bandar, mahupun pedalaman. Kesimpulan saya, memang masih banyak perkara yang perlu diperbaik, baik dalam konteks infrastruktur dan kemudahan, mahupun akses dan peluang pendidikan, namun pendidikan kita di Malaysia masih bertahan dan gencar bergerak, kerana tonggak utamanya – Guru.
- Saya bertuah kerana dapat merasai pengalaman bermakna ini yang mengajar saya erti kegigihan. Sesekali dalam lawatan, saya mengelamun sejenak kerana memikirkan
betapa kesungguhan para pendidik ini tidak mungkin dapat dibalas dengan ganjaran dunia. - Oleh yang demikian, sering kali saya misalkan guru dan para pendidik ini ibarat “hujung mata tombak”. Dialah yang paling tajam – mampu menusukkan ilmu, adab dan kesedaran ke dalam akal dan jiwa setiap anak-anak kita. Dialah juga yang sentiasa di atas – menjunjung prinsip dan ikrar sumpah perjuangan keguruan. Dia juga yang sentiasa bersedia – menangkis dan menepis saat anasir jahat datang mengganggu.
MAQAM CINTA: ESENSI PENDIDIKAN DAN KEMULIAAN INSAN
Warga pendidik sekalian, - Menyikapi agenda pendidikan bukan sekadar dan semata-mata fokus kepada aspek prestasi dan kecemerlangan akademik, mahupun prasarana dan fasiliti institusi pendidikan. Agenda pendidikan harus dilihat dan disikapi secara menyeluruh,komprehensif dan meliputi keseluruhan horizonnya yang luas.
- Aspek keinsanan atau dimensi manusiawi wajar menjadi keutamaan dalam pendidikan. Esensi utama kependidikan ini mesti dipertahankan. Oleh yang demikian, peranan pendidikan sebagai “…usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu…” sebagaimana terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan harus diberi penekanan. - Manusia ialah makhluk terbaik ciptaan Tuhan. Setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah, yang ditandai dengan kemuliaan (karamah insaniah/human dignity) yang Tuhan kurniakan.
- Kemulian insan (karamah insaniah) harus dihormati dan dilindungi, dan pendidikan seharusnya menjadi wahana yang terus teguh dan tekal menghormati dan melindungi kemulian insan.
- Pendidikan adalah tentang pembentukan “otak dan watak” – kecemerlangan akademik dan keterpujian sahsiah, yang merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak serta pengukuhan integriti.
- Pendidikan juga adalah tentang “interaksi” – kesalingan hubungan antara sesama manusia. Oleh yang demikian, menjadi suatu keyakinan kita bahawa maqam tertinggi dalam pendidikan ialah “cinta”. Secara idealnya, pendidikan berperanan memelihara dan
memandu fitrah manusiawi. Pendidikan seharusnya menjadi suatu proses “memanusiakan manusia” dan antara esensi utama dalam diri manusia ialah kasih sayang dan cinta. Justeru, pendidikan bukan sekadar mengasah “akal fikiran” semata, tapi juga mengasah “akal budi” manusia. - Persoalannya, bagaimana memanifestasikan pendidikan dalam kefungsiannya yang sebenarnya? Hal ini berbalik kepada para guru dan pendidik sendiri, dan para pendidik adalah golongan yang mengemban tugas kepemimpinan. Pendidik ialah pemimpin, dan para guru ialah pemimpin bangsa ini.
PERANAN GURU JAUHARI DIGITAL DALAM MEMACU PEMBANGUNAN
Guru-guru yang berjasa sekalian, - Dalam kesedaran dan keinsafan bahawa langkahan ke depan adalah sangat mencabar dan mendebarkan, ayuh kita sama-sama mengatur pemposisian tetapan minda yang optimis. Kita menyaksikan pelbagai impak dan implikasi yang muncul natijah daripada perubahan global yang berlaku khasnya pasca Covid-19.
- Sememangnya kita khuatir dengan anak-anak kita, yang bakal berhadapan dengan segala macam kesulitan era generasi ‘pandemials’, namun dalam masa yang sama, kita juga wajar melihat peluang yang terbit daripada kepayahan ini.
- Pengetahuan digital merupakan kunci yang perlu dikuasai oleh para pendidik untuk membuka pintu kepada pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak selaras dengan
aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD). - Paling utama, guru-guru disarankan untuk membangun kompetensi digital secara kendiri bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas. Melalui latihan dan pembelajaran kendiri, mereka akan menjadi peneraju dalam membentuk landskap pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
- Selain itu, KPM juga telah menambah baik ekosistem pendidikan digital, iaitu infrastruktur dan infostruktur. Usaha berterusan ini bertujuan untuk membantu dan memberikan sokongan kepada para pendidik ini untuk mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran dalam digital serta membudayakan pengetahuan, kreativiti dan inovasi pendidikan digital dalam kalangan anak-anak kita.
- Terkadang, ada segelintir yang sinis dengan usaha kita dalam merangka perancangan pendidikan digital ini, kerana masih adanya anak-anak yang tercicir atau tertinggal daripada asas literasi dan numerasi dalam pendidikan mereka.
- Keprihatinan mereka ini berasas sebenarnya. Namun, memang telah kita usahakan “campur tangan” dan intervensi dalam kurikulum kita sekarang ini dan memberi
fokus kepada perkara asas yang belum selesai seperti penguasaan “3M” (Membaca, Menulis dan Mengira). - Apa yang tidak kita sedari adalah teknologi sebenarnya mampu menjadi solusi untuk mengatasi pelbagai permasalahan pendidikan, termasuklah mengatasi keciciran. Ketika pandemik Covid-19 membadai, kita menyaksikan bagaimana teknologi membantu – walau banyak kekurangannya – dalam meneruskan pembelajaran.
- Kita juga yakin, untuk masa-masa ke depan ini, teknologi digital akan mampu mengesan keciciran dan membantu kita menanganinya. Justeru, digitalisasi bukanlah sematamata suatu “privilege” kepada anak-anak yang berkemampuan dan yang mempunyai akses, tetapi ia akan diperluas menjadi sebahagian penyelesaian kepada permasalahan yang membelenggu proses pendidikan.
GENERASI FASIH DIGITAL, ANGKATAN BAHARU YANG AMPUH
Para pendidik yang disanjung sekalian, - Dalam konteks pembangunan negara, generasi fasih digital ini amat diperlukan sebagai persediaan negara menghadapi perubahan dunia teknologi dan digital.
- Antara inisiatif yang telah dilakukan oleh KPM untuk merealisasikan strategi ini adalah dengan menambah baik jurang digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.
- KPM juga telah menyediakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara berfasa ke sekolah-sekolah sejak Mac 2022. Ini termasuklah melengkapi kesemua sekolah dengan rangkaian jaringan internet.
- Selain itu, antara platform terpenting yang disediakan oleh KPM ialah pelantar DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) yang mengandungi perkhidmatan, aplikasi dan kandungan yang ditambah baik secara berterusan sesuai dengan perkembangan teknologi yang terkini.
- Saya yakin, para guru sekalian sedar bahawa pendidikan ialah proses yang holistik, yang membantu manusia memenuhi keperluan akal (aspek kognitif) dan menyempurnakan kehendak psikologi-emosi manusia (aspek afektif); di samping membangun kapasiti jasmani insan (aspek psikomotor).
- Walaupun teknologi hadir sebagai alat bantu, memudah cara dalam pelaksanaan proses pendidikan, namun tetap tidak akan mampu menggantikan “interaksi manusiawi”
dalam ekosistem pendidikan. Pendidikan semestinya perlu kepada “hi-touch” di samping “hi-tech”, “heartware” bukannya “hardware”.
PENUTUP - Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering kali menegaskan bahawa Malaysia yang tercinta ini mestilah dibangunkan bukan sekadar menumpu kepada aspek
lahiriah dan pembangunan fizikal, tetapi yang paling pertama dan utama adalah pembinaan jati diri dan keterampilan warganya. - Pembinaan jati diri dan keterampilan warga Malaysia akan mampu diteguhkan melalui pendidikan. Tegasnya, pendidikan ialah proses memanusiakan manusia. Dengan pendidikan, manusia memanifestasikan diri, membebaskan diri daripada belenggu kejahilan, menerapkan nilai dan prinsip manusiawi, membangun interaksi dengan kasih sayang, menyubur kesedaran berbakti, dan membangun bersama masyarakat madani.
- Digitalisasi hadir sebagai proses pelengkap dalam memenuhi tujuan dan “maqsud” pendidikan. Teknologi, merupakan solusi kepada permasalahan dan keciciran
dalam pendidikan, di samping membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam proses pendidikan hari ini. - Oleh yang demikian, guru jauhari digital yang sedar akan peranannya sebagai pendidik insani bertanggungjawab mengintegrasikan teknologi secara efektif dalam proses
pendidikan, di samping memastikan murid-murid mahir dan beretika menggunakan peranti digital bagi memenuhi keperluan generasi Alfa, selaras dengan hasrat reformasi
pendidikan negara yang sedang diusahakan bersama. - Hasrat untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan guru ke tahap jauhari digital adalah sebahagian daripada aspirasi negara MADANI yang kita sasarkan. Sebagaimana yang telah saya bahaskan, guru ibarat hujung tombak, golongan yang paling awal mendepani cabaran zaman, dan yang paling layak mengendali bahtera perubahan nusa ini.
Usai sembahyang kita bersama,
Munajat dan doa kita panjatkan,
Agenda pendidikan sangat utama,
Malaysia Madani kita harapkan.
Setelah berdoa bingkaslah bangun,
Bergerak menuju ke ruang dapur,
Jauhari digital tiada ngelamun,
Guru maju tiada mundur.
Kumpul di dapur keluarga seisi,
Makan kari resipi Bengal,
Teknologi digital jadi solusi,
Agar tiada murid tertinggal.
Sudah makan basuhlah pinggan,
Kemaskan dapur janganlah culas,
Guru insani banyak berkorban,
Jasa baktimu tiada terbalas.
Sudah kenyang bacalah buku,
Ulang kaji mata pelajaran,
Sekali guru selamanya cikgu,
Hanya syurga tempat ganjaran.
Usai membaca mata tak cerah,
Masuk ke bilik tempat beradu,
Kepada guru cintaku curah,
Tak pernah lekang dalam doaku.
SELAMAT HARI GURU
TERIMA KASIH CIKGU!
Wabillahi al-taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Muat Turun Perutusan Hari Guru Menteri Pendidikan
Baca juga: