Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPPNK) mempelawa anak-anak Kedah yang berkelayakan dan memenuhi syarat untuk memohon Pinjaman Pendidikan SPPNK Tahun 2022.
Pinjaman Pendidikan SPPNK Tahun 2022 adalah pembiayaan yang ditawarkan kepada pelajar anak Negeri Kedah yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta di dalam negara.
Pemohon yang berminat boleh membuat permohonan mulai 18 Ogos 2022 sehingga 2 Oktober 2022 melalui Sistem iPINJAM SPPNK.
Kadar Pinjaman
Kadar pinjaman yang ditawarkan menerusi pinjaman pendidikan ini adalah RM6500.00 setahun atau RM7500.00 setahun untuk UniSHAMS.
Syarat Permohonan
Syarat permohonan untuk memohon pembiayaan ini adalah seperti berikut:
- Pemohon atau Ibu atau Bapa lahir di Kedah serta warganegara Malaysia dan pemohon mestilah bermastautin dan menetap di Kedah.
- Pemohon mempunyai kesihatan yang baik.
- Ibu/Bapa/Penjaga tidak disenarai hitam/dalam tindakan undang-undang oleh SPPNK.
- Pemohon tidak menerima bantuan kewangan atau tajaan dari mana-mana agensi.
- Pemohon telah menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa Dalam Negara di IPTA dan IPTS (yang terpilih sahaja) serta telah membuat bayaran pendaftaran awal pengajian.
Bayaran Balik
Bayaran balik pinjaman pendidikan bermula 12 bulan selepas pelajar menamatkan pengajian (seperti dalam Surat Tawaran IPT dan dokumen Perjanjian Pinjaman).
Peminjam serta Penjamin adalah bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman pendidikan berdasarkan jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diterima seperti di dalam dokumen perjanjian berserta caj perkhidmatan 2% setahun ke atas baki keseluruhan pinjaman terkini setiap bulan.
Tatacara Permohonan
Permohonan boleh dilakukan menerusi tatacara permohonan berikut:
- Layari laman web Sistem iPINJAM SPPNK iaitu https://eservices.kedah.gov.my/ipinjam/login.php?a=OTEzMTgz.
- Klik “Daftar Pengguna Baru.”
- Isi Nama Penuh, No Kad Pengenalan sebagai ID Pengguna, Kata Laluan dan Emel diikuti dengan klik “Hantar.”
- Semak emel untuk pengesahan pendaftaran akaun.
- Log masuk dengan mengisi No Kad Pengenalan sebagai ID Pengguna dan Kata Laluan.
- Memuat naik Surat Tawaran/Surat Pengesahan IPT di ruangan Maklumat Pengajian dan klik “Seterusnya.”
- Isi No Kad Pengenalan Ibu/Bapa/Waris/Penjaga untuk semakan kelayakan dan klik “Semak.”
- Klik “Permohonan Baru.”
- Isi maklumat berikut:
– Maklumat pemohon
– Maklumat Keluarga/Waris/Penjaga/Suami/Isteri
– Tanggungan Keluarga yang masih belajar (sekiranya ada)
– Maklumat Pengajian Semasa
– Keputusan SPM
– Maklumat STPM/STAM/Sijil/Matrikulasi dan Diploma - Tandakan di ruangan “Ya” untuk Perakuan.
- Klik “Hantar.”
Info Lanjut
Info lanjut mengenai Pinjaman Pendidikan SPPNK Tahun 2022, sila hubungi hotline SPPNK di talian 04-702 7296/7286/7272 atau emel ke [email protected].