Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan kemasukan ke Sekolah Khusus bagi Tingkatan 1 dan 4 bagi sesi 2022 adalah menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Untuk makluman, PKSK adalah satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 ke Sekolah Khusus secara dalam talian yang menggunakan kaedah single entry point.
Single entry point bermaksud satu sistem permohonan yang menggunakan platform berpusat secara dalam talian bagi kemasukan ke sekolah khusus menggunakan padanan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus ini dibuka mulai 10 Oktober sehingga 15 November 2021 secara atas talian.
Sekolah Khusus
5 sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Khusus oleh KPM iaitu:
- Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
- Sekolah Menengah Teknik (SMT)
- Kolej Vokasional (KV)
- Maktab Tentera Diraja (MTD)
Format PKSK
Format PKSK yang digunakan oleh KPM bagi kemasukan ke Sekolah Khusus adalah seperti berikut:
Perkara | Bahagian A (Kecerdasan Insaniah) | Bahagian B (Kecerdasan Intelek) | Bahagian C (Artikulasi Penulisan) |
Kaedah | Online | Online | Bertulis (Bersemuka) |
Jenis Item | Objektif Aneka Pilihan | Objektif Aneka Pilihan | Subjektif |
Cakupan Isi Kandungan | EQ, SQ, SSQ | IQ, Pengetahuan Am, Penyelesaian Masalah | Tajuk Ditetapkan |
Wajaran Skor | 20% | 70% | 10% |
Pelaksanaan PKSK
PKSK akan dilaksanakan dalam 3 sesi dan setiap sesi tersebut terbahagi kepada 2 fasa pelaksanaan.
Untuk fasa 1, calon dikehendaki menjawab Bahagian C iaitu penulisan esei sekurang-kurangnya 100 patah perkataan bagi Tingkatan 1, dan 250 patah perkatan bagi Tingkatan 4 berdasarkan tajuk yang diberikan dalam masa 45 minit.
Bagi fasa 2, calon perlu menjawab soalan Bahagian A dan B secara dalam talian dalam masa 90 minit bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Adalah diingatkan calon hanya perlu menduduki satu sesi PKSK sahaja mengikut tarikh, tempat dan masa yang telah ditetapkan.
Syarat Permohonan
Pemohon perlu memenuhi syarat permohonan untuk melayakkan mereka memasukan Sekolah Khusus bagi sesi 2022 iaitu:
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia.
- Pemohon telah mendaftar dalam sistem Sistem Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM) KPM.
- Untuk kemasukan Tingkatan 1 tahun 2022, murid Tahun 6 tahun 2021 mestilah:
– Berumur 12 tahun; atau
– Lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010. - Bagi kemasukan Tingkatan 4 tahun 2022, murid Tingkatan 3 tahun 2021 mestilah:
– Berumur 15 tahun; atau
– Lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007.
Cara Memohon
Pemohon yang ingin memohon kemasukan ke Sekolah Khusus boleh memohon melalui pautan di bawah:
- Tingkatan 1: https://spskt1.moe.gov.my
- Tingkatan 4: https://spskt4.moe.gov.my
Untuk mengekses ke dalam sistem, masukkan nombor mykid/mykad pelajar beserta nombor mykad penjaga utama untuk mengakses ke dalam sistem.
Tarikh Pelaksanaan PKSK
Selepas membuat permohonan, semakan pusat pentaksiran PKSK boleh dibuat mulai 1 Disember 2021.
Tarikh pelaksanaan PKSK bagi pemohon yang terpilih adalah seperti berikut:
- Tingkatan 1: 17 hingga 22 Januari 2022
- Tingkatan 4: 7 hingga 17 Februari 2022
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai kemasukan Sekolah Khusus 2022, sila layari laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.