Portal Aduan Buli: Laporkan Kes Buli Secara Terus Kepada KPM
Murid yang menjadi mangsa buli di sekolah kini boleh melaporkan kes tersebut terus kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Portal Aduan Buli.
Portal Aduan Buli dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin bagi menangani kes berkaitan buli yang berlaku di sekolah dengan menyediakan saluran untuk melaporkan kes buli terus ke KPM.
Pengenalan portal ini dibuat sempena pelancaran Program Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat iaitu kolaborasi antara KPM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu buli dan salah laku melibatkan penggunaan barang terlarang iaitu dadah melibatkan pelajar sekolah.
Portal ini boleh diakses menerusi pautan iaitu https://www.moe.gov.my/aduanbuli.
Takrif Buli
Buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang murid atau kumpulan murid supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru atau perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang murid atau kumpulan murid yang biasanya lemah untuk menggertak atau menakutkan murid atau kumpulan berkenaan.
Jenis-Jenis Buli
Jenis-jenis buli yang lazimnya berlaku adalah seperti berikut:
i) Fizikal
- Pukul
- Tumbuk
- Tendang
- Tolak/tarik
- Tampar
- Cubit
- Pulas telinga
- Tindih
- Menghimpit
- Peteh/bentes/tendang pada kaki
- Sekeh/luku/ketuk
- Cekik
- Raba
- Dan lain-lain perbuatan seumpamanya
ii) Lisan
- Ejekan
- Panggilan/gelaran yang mengaibkan
- Fitnah
- Mencarut/memaki/menghina/mengherdik/mempersenda
- Dan lain-lain penyataan lisan seumpama dengannya
iii) Isyarat (bukan lisan)
- Jelir lidah
- Bahasa badan
- Jegil mata
- Isyarat lucah
- Dan lain-lain perbuatan bukan lisan seumpamanya
iv) Peras Ugut
- Minta duit secara paksa
- Memaksa mangsa membuat kerja/kerja rumah
- Minta barang secara paksa
- Memaksa menjelaskan bayaran (makanan, minuman, alat tulis, dan lain-lain)
- Sembunyikan barang mangsa
- Mengugut supaya merahsiakan perbuatan salah laku dan seumpama dengannya.
- Memaksa melakukan salah laku
- Menjadi orang suruhan
- Dan lain-lain perbuatan seumpama dengannya
v) Memulau
- Mangsa buli tidak dimasukkan dalam kumpulan
- Mangsa buli tidak diberikan kemudahan yang sepatutnya
- Mangsa buli tidak diberikan kerjasama
- Pembuli tidak suka murid yang ikut peraturan
Saluran Aduan
Portak Aduan Buli menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.
Saluran aduan mengenai buli boleh dibuat menerusi:
- Talian khas aduan buli: 03-88849352 atau WhatsApp: 0148009325
- Email: [email protected]
- Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM iaitu https://moe.spab.gov.my/eApps/system/index.do
Untuk makluman, talian khas tersebut boleh dihubungi 24 jam dan setiap aduan akan diambil tindakan segera oleh KPM
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai portal ini, sila layari laman web https://www.moe.gov.my/aduanbuli.