PPC: Permohonan Program Pelajar Cemerlang JPA 2022

Pelajar cemerlang lepasan Ijazah Pertama/Sarjana tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran dalam pelbagai bidang di universiti yang telah dikenal pasti oleh JPA adalah dialu-alukan memohon Program Pelajar Cemerlang (PPC) 2022.

Program Pelajar Cemerlang (PPC) adalah penajaan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) yang dikhususkan kepada pelajar cemerlang lepasan Ijazah Pertama/Sarjana untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran.

Pelajar cemerlang yang berminat untuk memohon PPC boleh membuat permohonan mulai 15 Julai 2022, 5.00 petang sehingga 24 Julai 2022, 5.00 petang secara atas talian.

Mekanisme Perjanjian

Perjanjian penajaan adalah mengikut 4 keadaan PBU iaitu:

  • Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
  • Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Bidang Penajaan

Penajaan adalah berfokuskan bidang Sains & Teknologi selaras dengan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi
& Ekonomi (10-10 MySTIE) Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), serta bidang Sains Sosial yang dikenal pasti iaitu Sains Politik/Hubungan Antarabangsa, Kewangan/Perbankan, Perakaunan/Percukaian, Ekonomi dan Psikologi.

Bidang pengajian yang tidak ditaja adalah seperti:

  • Perubatan
  • Pergigian
  • Farmasi
  • Pendidikan
  • Kejururawatan
  • Kursus yang mewajibkan pelajar mengambil lesen seperti lesen penerbangan dan kursus profesional seperti ACCA dan Certified in Legal Practice (CLP).
  • Pengajian berstruktur seperti Industrial Ph.D, Doctorate in Business Administration (DBA), Doctor of Management (DMgt) dan Jointly Awarded Ph.D/Dual Ph.D

Syarat Umum

Syarat umum bagi permohonan adalah seperti:

  1. Warganegara Malaysia berumur tidak lebih 26 tahun bagi pengajian peringkat Sarjana dan 30 tahun bagi pengajian peringkat Kedoktoran (Ph.D) pada tahun permohonan.
  2. Mempunyai kesihatan yang baik.
  3. Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
  4. Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana pihak di peringkat pengajian yang sama.
  5. Pelajar merupakan pelajar tajaan JPA semasa peringkat Ijazah Pertama/Sarjana bagi memohon ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
  6. Pelajar mestilah telah menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak pernah membuat sebarang pelanjutan bagi pengajian semasa di peringkat Ijazah Pertama/Sarjana.
  7. Pelajar yang layak memohon adalah pelajar yang telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama atau Sarjana pada tahun 2020 dan 2021 hingga tarikh tutup permohonan penajaan ini di mana ianya bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan tempat pengajian pada peringkat Sarjana atau Kedoktoran (Ph.D).
  8. Pelajar semasa memohon dan sepanjang tempoh penajaan mestilah tidak terikat dengan kontrak perkhidmatan sama ada secara tetap atau kontrak atau sambilan di agensi awam termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau agensi swasta supaya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang pelajar. Obligasi ikatan kontrak berkhidmat bagi penajaan JPA yang diterima terdahulu hendaklah diuruskan sewajarnya berdasarkan dasar-dasar penajaan yang berkuat kuasa.
  9. Pelajar telah mendapat tawaran bersyarat/tanpa syarat daripada universiti dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa.
  10. Program Ijazah Sarjana yang dimohon bukanlah program yang dinilai taraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, Kerajaan telah menetapkan bahawa kelayakan Master of Engineering (M.Eng) dari universiti-universiti di United Kingdom hanya layak digunakan untuk tujuan pelantikan ke jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan atau RIBA Part II bagi pengajian senibina yang mana ia hanya diiktiraf setaraf Ijazah Sarjana Muda Senibina sahaja.
  11. Pelajar perlu memulakan pengajian sebelum atau pada 31 Disember 2022.
  12. Mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya 9 bulan bagi pengajian peringkat Sarjana dan 24 bulan bagi pengajian peringkat Kedoktoran (Ph.D).

Syarat Khusus

Syarat khusus yang ditetapkan JPA adalah seperti:

i) Ijazah Sarjana/Fast Track Ph.D

  1. Memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 atau setara pada pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam negara atau luar negara; atau
  2. Kelayakan minimum akademik mengikut negara adalah seperti:
    – United Kingdom: 70% & ke atas
    – Australia/New Zealand: 85% & ke atas
    – Jepun: 85% A+B (50%A) (85% A+B – Jumlah gred A dan B yang diperolehi adalah sekurang-kurangnya 85% dan 50% daripada jumlah tersebut perlu mendapat gred A).

ii) Ijazah Kedoktoran (Ph.D)

  1. Memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 atau setara bagi mod pengajian kerja kursus atau mix-mode; atau
  2. Lulus bagi mod pengajian secara penyelidikan peringkat Ijazah Sarjana dalam negara atau luar negara.
  3. Bagi negara United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun yang tidak menggunakan penilaian PNGK bagi mod pengajian kerja kursus atau mix-mode atau secara penyelidikan, kelayakan akademik minimum di peringkat Ijazah Sarjana adalah seperti berikut:
    – United Kingdom: 70% & ke atas
    – Australia/New Zealand: 85% & ke atas
    – Jepun: 85% A+B (50%A) (85% A+B – Jumlah gred A dan B yang diperolehi adalah sekurang-kurangnya 85% dan 50% daripada jumlah tersebut perlu mendapat gred A).

Tatacara Permohonan

Permohonan PPC boleh dibuat menerusi portal http://esilav2.jpa.gov.my mulai 15 Julai 2022 (Jumaat) jam 5.00 petang hingga 24 Julai 2022 (Ahad) jam 5.00 petang.

Keputusan permohonan penajaan ini dijangka akan diumumkan melalui portal yang sama pada minggu ke-2 bulan September 2022.

Pertanyaan Lanjut

Pertanyaan mengenai PPC dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3297 mulai 18 hingga 22 Julai 2022 jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang atau menghantar emel ke [email protected].

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: