PPC JPA: Program Pelajar Cemerlang 2022 Peringkat Sarjana & PhD

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuka permohonan pelajar cemerlang lepasan Ijazah Pertama/Sarjana tajaan JPA untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD) menerusi Program Pelajar Cemerlang (PPC) 2022.

PPC adalah program yang diwujudkan untuk pelajar cemerlang yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU).

Bagi pelajar yang berminat, mereka boleh membuat permohonan mulai 14 Februari 2022 sehingga 20 Februari 2022 secara atas talian.

Syarat Umum

Pelajar yang ingin memohon PPC perlu memenuhi syarat umum yang ditetapkan seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia berumur tidak lebih 26 tahun bagi pengajian peringkat Sarjana dan 30 tahun bagi pengajian peringkat Kedoktoran pada tahun permohonan.
  2. Mempunyai kesihatan yang baik.
  3. Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
  4. Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana pihak di peringkat pengajian yang sama.
  5. Pelajar merupakan pelajar tajaan JPA semasa peringkat Ijazah Pertama/ Sarjana bagi memohon ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
  6. Pelajar mestilah telah menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak pernah membuat sebarang pelanjutan bagi pengajian semasa di peringkat Ijazah Pertama/Sarjana.
  7. Pelajar yang layak memohon adalah pelajar yang telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama atau Sarjana pada tahun 2020 dan 2021 hingga tarikh tutup permohonan penajaan ini di mana ianya bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan tempat pengajian pada peringkat Sarjana atau Kedoktoran (Ph.D);
  8. Pelajar semasa memohon dan sepanjang tempoh penajaan mestilah tidak terikat dengan kontrak perkhidmatan sama ada secara tetap atau kontrak atau sambilan di agensi awam termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau agensi swasta supaya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang pelajar. Obligasi ikatan kontrak berkhidmat bagi penajaan JPA yang diterima terdahulu hendaklah diuruskan sewajarnya berdasarkan dasar-dasar penajaan yang berkuat kuasa.
  9. Pelajar telah mendapat tawaran bersyarat/tanpa syarat daripada universiti dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa.
  10. Program Ijazah Sarjana yang dimohon bukanlah program yang dinilai taraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, Kerajaan telah menetapkan bahawa kelayakan Master of Engineering (M.Eng) dari universiti-universiti di United Kingdom hanya layak digunakan untuk tujuan pelantikan ke jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan atau RIBA Part II bagi pengajian senibina yang mana ia hanya diiktiraf setaraf Ijazah Sarjana Muda Senibina sahaja.
  11. Pelajar perlu memulakan pengajian sebelum atau pada 31 Disember 2022.
  12. Mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya 9 bulan bagi pengajian peringkat Sarjana dan 24 bulan bagi pengajian peringkat Kedoktoran (Ph.D).

Syarat Khusus

Selain syarat umum, pelajar juga perlu memenuhi syarat khusus yang ditetapkan iaitu:

i) Ijazah Sarjana/Fast Track Ph.D

  1. Memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 atau setara pada pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam Negara atau luar Negara; atau
  2. Bagi negara United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun, kelayakan akademik minimum adalah seperti berikut:
    – United Kingdom: 70% & ke atas
    – Australia/New Zealand: 85% & ke atas
    – Jepun: 85% A+B (50%A) 85%. A+B – Jumlah gred A dan B yang diperolehi adalah sekurang-kurangnya 85% dan 50% daripada jumlah tersebut perlu mendapat gred A.

ii) Ijazah Kedoktoran (Ph.D)

  1. Memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 atau setara bagi mod pengajian kerja kursus atau mix-mode; atau
  2. Lulus bagi mod pengajian secara penyelidikan peringkat Ijazah Sarjana dalam negara atau luar negara; atau
  3. Bagi negara United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun yang tidak menggunakan penilaian PNGK bagi mod pengajian kerja kursus atau mix-mode atau secara penyelidikan, kelayakan akademik minimum di peringkat Ijazah Sarjana adalah seperti berikut:

Tempat Pengajian

Penajaan akan dipertimbangkan kepada pemohon yang mendapat tempat pengajian dalam negara di Universiti Awam (UA), Government-Linked Universities (Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atau di universiti-universiti di luar negara.

Bidang Pengajian

Program penajaan ini memfokuskan dalam bidang pengajian meliputi bidang keutamaan negara dan strategik serta lain-lain bidang yang ditetapkan oleh Kerajaan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di bawah Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

Untuk tahun 2022, penajaan adalah berfokuskan bidang Sains dan Teknologi selaras dengan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (10-10 MySTIE) Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), serta bidang Sains Sosial yang dikenal pasti iaitu Sains Politik/Hubungan Antarabangsa, Kewangan/ Perbankan, Perakaunan/Percukaian, Ekonomi dan Psikologi.

Namun, terdapat bidang yang tidak ditaja seperti:

  • Perubatan
  • Pergigian
  • Farmasi
  • Pendidikan
  • Kejururawatan
  • Kursus yang mewajibkan pelajar mengambil lesen seperti lesen penerbangan dan kursus profesional seperti ACCA dan Certified in legal Practice (CLP)
  • Pengajian berstruktur seperti Industrial Ph.D, Doctorate in Business Administration (DBA), Doctor of Management (DMgt) dan Jointly Awarded Ph.D/Dual Ph.D Program

Bayaran Balik

Bayaran balik pinjaman adalah bergantung kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:

  1. Pinjaman akan ditukar kepada biasiswa dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam; atau
  2. Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC); atau
  3. Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara; atau
  4. Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Cara Membuat Permohonan

  1. Layari laman web permohonan https://esilav2.jpa.gov.my/online_progs/epermohonan/index.php?program=PPCA.
  2. Klik bahagian ‘Daftar’ dan klik ‘Teruskan Pendaftaran.’
  3. Isi maklumat yang diperlukan dan klik ‘Teruskan Pendaftaran.’
  4. Log masuk dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan.
  5. Lengkapkan permohonan yang diperlukan.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai PPC, sila layari laman web https://esilav2.jpa.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: