PPF1 2025: Program Khas Perubatan, Pergigian & Farmasi

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuka permohonan bagi individu yang ingin memohon Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (Ijazah Pertama) (PPF1).
Berikut adalah maklumat dan info mengenai program khas ini.
Mengenai PPF1
PPF1 ini ditawarkan kepada pelajar yang akan atau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Pertama di dalam negara dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi yang telah mendapat pengiktirafan penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan telah diiktiraf oleh Badan Profesional berkaitan iaitu Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia dan Lembaga Farmasi Malaysia.
Penajaan program khas ini adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah kepada pelajar Ijazah Pertama yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi di Universiti Awam (UA) melalui saluran perdana sahaja.
Pinjaman Boleh Ubah
Pinjaman boleh ubah ini terpakai dalam keadaan berikut:
- Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian;
- Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian;
- Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian; dan
- Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
Senarai Universiti Awam
Pelajar UA berikut layak memohon iaitu:
- Universiti Malaya (UM)
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Universiti Sains Malaysia (USM)
- Universiti Putra Malaysia (UPM)
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
- Universiti Teknologi MARA (UiTM)
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
- Universiti Malaysia Sabah (UMS)
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Syarat Umum
Syarat umum untuk memohon penajan program khas ini adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Pemohon disyaratkan bebas daripada penyakit kronik/ berjangkit/ penyakit yang memerlukan rawatan susulan dan berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat, serta disahkan sihat untuk meneruskan pengajian;
- Ibu dan/ atau bapa dan/atau pemohon tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA;
- Pemohon yang pernah dikenakan tindakan penamatan tajaan atas pelanggaran syarat perjanjian oleh JPA tidak layak memohon;
- Sekiranya berjaya ditawarkan penajaan JPA, pemohon tidak dibenarkan menerima bantuan kewangan/ tajaan daripada mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama;
- Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
- Umur tidak melebihi 23 tahun pada tahun permohonan (24 tahun bagi pelajar peralihan).
Syarat Khusus
Selain syarat umum, pemohon juga perlu memenuhi syarat khusus iaitu:
- Sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama sebelum tarikh iklan ditutup;
- Bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, hanya terbuka kepada pelajar selain pegawai kadet;
- Tidak pernah gagal atau mengulang mana-mana subjek dalam mana-mana semester sebelum membuat permohonan;
- Tiada penangguhan pengajian sebelum calon memohon; dan
- Memenuhi syarat akademik seperti berikut:
– Bagi kategori pelajar yang sedang mengikuti pengajian pada semester pertama di peringkat Ijazah Pertama dan belum memperoleh keputusan semasa di peringkat pengajian tersebut, hendaklah memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya3.50 atau setara di peringkat Persediaan/ Asasi.
– Bagi kategori pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama, hendaklah memperoleh keputusan semasa seperti berikut:
a) “Lulus” dalam bidang Perubatan dan Pergigian; atau
b) PNGK sekurang-kurangnya 3.30 dalam bidang Farmasi; dan - Mempunyai baki 12 bulan pengajian tidak termasuk semester terkini/ semasa.
Cara Memohon
Permohonan dibuka secara dalam talian (online) di https://bmipenajaan.jpa.gov.my/ms/ bermula 28 Februari 2025 (10.00 pagi) hingga 9 April 2025 (jam 5.00 petang).
Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai PPF1, sila layari laman web https://penajaan.jpa.gov.my.
Baca juga: PIDN 2025: Program Ijazah Dalam Negara