Program Penajaan Nasional (PPN) adalah penajaan yang ditawarkan kepada pelajar
terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia.
Penajaan ini ditawarkan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021 bagi kali pertama untuk mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bentuk
Pinjaman Boleh Ubah (PBU).
Pemohon yang terpilih akan ditawarkan penajaan bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama di 10 universiti terbaik dunia di Amerika
Syarikat (USA) dan 10 universiti terbaik dunia di United Kingdom (UK).
Justeru itu, pemohon yang berminat boleh membuat permohonan mulai 20 Jun 2022 sehingga 26 Jun 2022 secara atas talian.
Mekasnisme Penajaan
Penajaan yang ditawarkan adalah berasaskan PBU iaitu:
- Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.
- Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
- Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
- Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
Peringkat Pengajian
Pemohon yang berjaya akan ditawarkan penajaan di bawah program ini akan mengikuti kursus persediaan iaitu Program A-Level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) selama 24 bulan.
Kemudiannya, mereka akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama di 10 universiti terbaik dunia di USA dan 10 universiti terbaik dunia di UK seperti yang disenaraikan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings, QS World University Rankings, dan/ atau Academic Ranking of World Universities (ARWU) berdasarkan kedudukan universiti dan bidang pengajian.
Bidang Pengajian
Bidang pengajian yang boleh dipilih untuk menyambung pengajian adalah seperti berikut:
- Kejuruteraan dan Teknikal: Bidang seperti Aerospace Engineering, Civil and Structural Engineering, Security Engineering, Biomaterials Engineering
- Sains dan Teknologi
- Sains Sosial: Bidang yang dikenal pasti sahaja iaitu Sains Politik/Hubungan Antarabangsa, Kewangan/Perbankan, Perakaunan/Percukaian, Ekonomi, Psikologi
- Industri Kreatif: Bidang yang dikenal pasti sahaja iaitu penerbitan filem/ TV, pengiklanan, seni reka, animasi dan kandungan digital, seni visual, penulisan kreatif.
Syarat Umum
Pemohon perlulah memenuhi syarat umum yang ditetapkan iaitu:
- Warganegara Malaysia.
- Mempunyai kesihatan yang baik.
- Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
- Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama.
- Menduduki peperiksaan SPM 2021 buat kali pertama di manamana sekolah menengah termasuk sekolah khas, sekolah swasta atau calon-calon persendirian.
- Umur belum mencapai 19 tahun (20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki.
Syarat Khusus
Pemohon mestilah memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 9A+ bagi mata pelajaran berikut:
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- Sejarah
- Matematik Tambahan
- Fizik
- Kimia
- Pendidikan Islam/Pendidikan Al-Quran Dan Al-Sunnah/
- Pendidikan Syariah Islamiah/Pendidikan Moral/Usul Al-Din/AlSyariah/Turath Al-Quran Wa Al-Sunnah/Turath Dirasat AlIslamiah
- 1 mata pelajaran lain
Jika ada, pemohon mestilah memperoleh minimum gred A- bagi semua mata pelajaran lain.
Tatacara Permohonan
Permohonan penajaan ini boleh dibuat menerusi tatacara berikut iaitu:
- Layari laman web permohonan http://esilav2.jpa.gov.my.
- Klik di bahagian ‘Daftar’ dan klik ‘Teruskan Pendaftaran.’
- Isi maklumat yang diperlukan dan klik ‘Teruskan Pendaftaran.’
- Log masuk dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan.
- Lengkapkan permohonan yang diperlukan sehingga tamat.
Pertanyaan Lanjut
Pertanyaan mengenai PPN boleh dibuat menerusi talian 03-8885 3297 atau menghantar emel ke alamat [email protected].