Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melancarkan inisiatif terbaharu bagi membantu pelajar daripada golongan keluarga B40 untuk ke menara gading menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).
Untuk makluman, Program SULUNG memberi fokus terhadap usaha membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga menjejak kaki ke menara gading.
Ini secara tidak langsung akan memberikan motivasi kepada keluarga, dan juga kepada komuniti setempat untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
Menerusi program ini, pelajar yang layak akan diberikan laluan khas ke Universiti Awam (UA) untuk melanjutkan pelajaran.
Objektif SULUNG
Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mencapai perkara berikut:
- Mengeluarkan mereka daripada kitaran B40.
- Memastikan mereka lebih berdikari.
- Kejayaan mereka dijadikan motivasi keluarga dan komuniti setempat.
Bantuan Yang Diberikan
Bantuan yang akan diberikan kepada pelajar yang layak adalah seperti berikut:
- Tawaran biasiswa
- Asrama
- Mentoring sehingga mendapat pekerjaan
Universiti Rintis
Untuk permulaan, program ini akan dilaksanakan di 7 universiti rintis iaitu:
- Universiti Teknologi Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
- Universiti Putra Malaysia
- Universiti Malaysia Perlis
- Universiti Malaysia Pahang
- Universiti Malaysia Sabah
Pemilihan Pelajar
Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan mengenal pasti calon yang membuat permohonan sama ada dalam kategori B40 atau sebaliknya.
Oleh itu, JPT menambah 2 soalan dalam borang permohonan UPUonline sesi 2022/2023 bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai abang atau kakak yang sudah melanjutkan pengajian ke universiti.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai Program SULUNG, sila layari laman web https://www.mohe.gov.my/ dan Facebook KPT https://www.facebook.com/MOHEOfficial.