Semak Keputusan & Rayuan Kemasukan UA Lepasan STPM/Setaraf 2021

Pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Setaraf yang telah membuat permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) dalam negara menerusi sistem UPUOnline, semakan keputusan permohonan telah dibuka.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan STPM/Setaraf yang telah membuat permohonan kemasukan UA boleh membuat semakan keputusan mulai 15 September 2021 pada jam 12.00 tengah hari hingga 25 September 2021 jam 5.00 petang.

Untuk makluman, KPT sebelum ini telah membuka permohonan kemasukan UA lepasan STPM/Setaraf bagi sesi akademik 2021/2022 melalui sistem UPUOnline pada 4 Januari hingga 31 Mac 2021 yang lalu.

Sistem UPUOnline ialah sistem permohonan kemasukan pelajar ke UA yang diwujudkan oleh KPT bagi permohonan dan rayuan lepasan SPM dan STPM untuk menyambung pengajian mereka ke IPT.

Dasar & Kriteria Pemilihan

Dasar pemilihan bagi kemasukan UA lepasan STPM/Setaraf adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.

Kriteria kemasukan yang ditetapkan oleh KPT pula adalah seperti berikut:

  • Pencapaian akademik dalam peperiksaan STPM/setaraf.
  • Pencapaian dalam aktiviti kokurikulum.
  • Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian yang dipohon.
  • Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan.
  • Memenuhi syarat khas seperti yang ditetapkan oleh UA.
  • Telah mengambil MUET dengan mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1).
  • Lulus temu duga dan/atau ujian bagi program bertemu duga dan/atau ujian.
  • Program pengajian pilihan calon mengikut keutamaan.
  • Bilangan tempat yang disediakan oleh UA.

Kemasukan Ke UA

Pelajar yang berjaya dalam permohonan akan ditempatkan di 20 UA seluruh negara iaitu:

  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Sains Malaysia (USM)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
  • Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Pengesahan Setuju Terima

Pelajar yang berjaya mendapat tawaran kemasukan ke UA perlu membuat pengesahan setuju terima dan mencetak surat tawaran.

Surat tawaran tersebut boleh dicetak dalam masa 10 hari mulai 16 September sehingga 25 September 2021 di laman web UA masing-masing.

Cara Membuat Semakan

Pelajar lepasan STPM yang ingin membuat semakan keputusan boleh mengikuti langkah-langkah berikut iaitu:

i) Laman web

  1. Layari laman web di pautan berikut iaitu:
    – jpt.utm.my
    – jpt.uum.edu.my
    – jpt.unimas.my
    – jpt.ums.edu.my
    – jpt.umt.edu.my
  2. Masukkan no kad pengenalan calon tanpa ada ‘-‘
  3. Klik butang ‘Masuk’ atau ‘Ok’
  4. Keputusan status kemasukan dipaparkan.

ii) Aplikasi UPUPocket

Muat turun aplikasi UPUPocket di Google Play dan App Store untuk menyemak keputusan kemasukan ke UA.

Permohonan Rayuan

Bagi pelajar yang tidak berjaya dalam permohonan, mereka boleh mengemukakan rayuan dalam masa 11 hari iaitu pada 15 September hingga 25 September 2021.

Permohonan rayuan boleh dibuat melalui pautan https://upu.mohe.gov.my.

Tawaran Penempatan

Tawaran penempatan bagi lepasan STPM/Setaraf untuk sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kepada tempat kekosongan yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dijalankan.

Pertanyaan Lanjut

Untuk pertanyaan lanjut mengenai kemasukan pengajian ke UA bagi lepasan STPM/Setaraf, sila hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) KPT di talian 03-8870 8200 atau email ke [email protected].

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: