Bagi murid yang telah membuat permohonan bagi kemasukan ke Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Menengah Teknik bagi tahun 2023/2024, semakan bagi mengetahui Pusat Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) boleh dibuat.
Untuk makluman, kemasukan murid ke Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik adalah menggunakan PKSK iaitu satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 ke sekolah berkenaan.
Kemasukan ke ini adalah menggunakan kaedah single entry point iaitu satu sistem permohonan yang menggunakan platform berpusat secara dalam talian bagi kemasukan ke sekolah khusus menggunakan padanan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
Oleh itu, murid yang telah memohon kemasukan ke Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik akan menduduki ujian PKSK di pusat pentaksiran yang telah ditetapkan.
Format PKSK
Pelaksanaan PKSK akan menggunakan format berikut:
Perkara | Bahagian A (Kecerdasan Insaniah) | Bahagian B (Kecerdasan Intelek) | Bahagian C (Artikulasi Penulisan) |
Kaedah | Online | Online | Bertulis (Bersemuka) |
Jenis Item | Objektif Aneka Pilihan | Objektif Aneka Pilihan | Subjektif |
Cakupan Isi Kandungan | EQ, SQ, SSQ | IQ, Pengetahuan Am, Penyelesaian Masalah | Tajuk Ditetapkan |
Wajaran Skor | 20% | 70% | 10% |
Ujian PKSK
Pelaksanaan PKSK dilaksanakan dalam 3 sesi dan setiap sesi tersebut terbahagi kepada 2 fasa.
Untuk fasa 1, calon dikehendaki menjawab Bahagian C iaitu penulisan esei sekurang-kurangnya 100 patah perkataan bagi Tingkatan 1, dan 250 patah perkatan bagi Tingkatan 4 berdasarkan tajuk yang diberikan dalam masa 45 minit.
Untuk fasa 2, calon perlu menjawab soalan Bahagian A dan B secara dalam talian dalam masa 90 minit bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Semakan Pusat PKSK
Semakan bagi pusat PKSK untuk kemasukan Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik boleh dibuat melalui pautan https://spskt4.moe.gov.my.
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut mengenai kemasukan ke Sekolah Khusus, sila hantar email ke alamat [email protected].